05 August 2017

Melaka United kenduri gol di Kuala Terengganu


PRESTASI menakjubkan dipamerkan pemain Melaka United pada separuh masa kedua membantu skuad bimbingan Eduardo Almeida membelasah tuan rumah, T-Team 5-1 dalam perlawanan ke-19 Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Perlawanan ini juga diibaratkan sebagai misi 'balas dendam' peribadi Almeida yang pernah disingkirkan T-Team sebelum ini biarpun berjaya membantu pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu terselamat daripada penyingkiran liga.

Ahmad Ezrie Shafizie Sazali berjaya melepasi kawalan pemain T-Team.
Masih segar dalam kemenangan ke atas Kelantan Rabu lalu, Almeida mengambil keputusan mengekalkan kesebelasan seperti di Kota Bharu bagi berdepan pasukan yang berada di pertengahan liga itu.

Babak awal permainan menyaksikan perlawanan berlangsung seimbang namun tuah ternyata berpihak kepada tuan rumah apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-33.

Mohamad Faizal Muhammad dikekalkan di pertahanan tengah Melaka United berpasangan dengan Nicholas Swirad.
Berdepan tekanan selepas Sarawak yang berada di tangga ke-11 selesa mendahului Pulau Pinang dengan 2-0, Melaka United bangkit pada awal babak kedua apabila ketajaman penyudah penyerang import, Marco Simic membantu pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Penyerang, Mohd. Fauzi Roslan kemudiannya meletakkan Melaka United pula di hadapan pada minit ke-62 sekali gus mencerahkan peluang membawa pulang tiga mata penuh dari Kuala Terengganu.

Felipe terus buktikan dirinya pakar sepakan percuma apabila meledak gol keempat Melaka United.
Tidak memberi ruang kepada tuan rumah memperbaiki kelemahan benteng pertahanan, Melaka United berjaya merobek gawang T-Team lagi hasil jaringan G. Puaneswaran pada minit ke-70.

Pakar sepakan percuma Melaka United, Felipe de Almeida Souza turut tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring gol apabila sepakan percuma yang diambilnya tepat ke penjuru kanan gawang T-Team sekali gus meletakkan Melaka United selesa 4-1 di hadapan.

Simic sekali lagi meledak gol pada minit-minit permainan sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya 5-1 Melaka United menundukkan T-Team di gelanggang lawan.

Hantaran bola mencari Simic berjaya dipatahkan penjaga gol T-Team.
Kemenangan ini tidak merubah kedudukan Melaka United di tangga ke-10 Liga Super dengan 18 mata, berkongsi mata dengan Kelantan yang berada di tangga kesembilan sementara T-Team di tempat kelapan dengan 19 mata.

Sarawak mengekori rapat di kedudukan penyingkiran, tempat ke-11 dengan 17 mata meninggalkan Pulau Pinang di dasar liga dengan 12 mata.

Foto: MUSA

02 August 2017

Dua gol Woo-Young cerahkan peluang ke suku akhir


CEMAS sebelum raih tiga mata berharga. Itulah skrip yang dipamerkan dalam pertembungan perlawanan kelima kumpulan C Piala Malaysia melibatkan Kelantan melayan kunjungan Melaka United di halaman sendiri, malam tadi.

Biarpun mendahului tiga gol pada babak pertama, Melaka United mengharungi separuh masa kedua yang mendebarkan apabila tuan rumah melancarkan serangan bertali arus sehingga menyebabkan pertahanan bocor dua kali.

Keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Kelantan ketika menentang Melaka United.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad V malam tadi, Melaka United terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Jeon Woo-Young seawal minit kelima permainan.

Woo-Young meraikan jaringan bersamanrakan sepasukan, Marco Simic (kiri) dan Ahmad Ezrie Shafizie (kanan).
Woo-Young sekali lagi menjadi duri dalam daging buat The Red Warriors apabila meledak jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan pada minit ke-30.

SIMIC meletakkan Melaka United selesa 3-0 di hadapan sebelum berakhirnya separuh masa pertama.
Belum pun sempat Kelantan memperkemaskan benteng pertahanan, gawang tuan rumah bocor lagi apabila penyerang, Marco Simic meledak jaringan pada minit ke-32 sekali gus meletakkan Melaka United selesa di hadapan sebelum wisel rehat ditiupkan.

The Red Warriors berjaya mengurangkan defisit gol pada babak kedua menerusi jaringan penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-50, berpunca daripada serangan bertali arus yang dilancarkan tuan rumah sejak babak kedua bermula.

Mohd. Fauzi Roslan (kanan) cuba dihalang pergerakannya oleh pertahanan Kelantan.
Beraksi di atas padang licin, pertahanan Melaka United terus menyerap serangan bertali arus Kelantan dan pada minit ke-86, tuan rumah menghidupkan kembali peluang apabila memperoleh gol kedua menerusi pertahanan import, Momadou Futty Danso.

Simic dikawal ketat Momadou Danso sepanjang perlawanan.
Suasana mendebarkan di Stadium Sultan Muhammad V terus menyelubungi penyokong hadir apabila serangan demi serangan Kelantan berjaya dipatahkan pertahanan Melaka United dan keputusan kekal bagi memberikan pelawat kemenangan ketiga kempen Piala Malaysia.


Kemenangan ini meletakkan Melaka United di tangga kedua kumpulan C dengan enam mata, tiga mata mendahului Kelantan bagi merebut tempat ke suku akhir.

Untuk layak, Melaka United perlu sekurang-kurangnya seri menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam untuk aksi terakhir kumpulan.

Foto: MUSA

29 July 2017

Serah pada nasib?


BERADA di kedudukan ke-10 merupakan satu tempat yang belum cukup selamat buat Melaka United bagi mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana, biarpun hanya baru semusim di Liga Super.

Dibezakan satu mata dengan Sarawak dan tiga mata dari Pulau Pinang yang masing-masing berada di kedudukan ke-11 dan 12 memberikan peringatan bahawa empat perlawanan terakhir musim ini diibaratkan sebagai 'perlawanan akhir.'

Misi wajib menang semua perlawanan tersebut perlu direalisasikan apatah lagi hanya satu, aksi menentang T-Team yang bermain di Terengganu manakala selebih Melaka United bakal beraksi di halaman sendiri.

Ketika ramai yang meramalkan pergelutan penyingkiran antara,  T-Team, Kelantan, Melaka United, Sarawak dan Pulau Pinang bakal menyaksikan dua pasukan yang kini berada di tangga terbawah akan tersingkir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi pula berpandangan sebaliknya.


Beliau yang dijemput dalam program bual bicara Sembang @ Mamak terbitan Astro Arena baru-baru ini berkata, nasib Melaka United kini bergantung kepada nasib terutama selepas pasukan kehilangan tonggak import, Jasmin Mecinovic.

"Saya dah tak nampak apa-apa formula. Habis dah. Lebih menambahkan parah bila pertahanan baharu kita pula dah ditempatkan bersama pasukan perubatan, dah tak boleh main lagi. Kita tinggal tiga sahaja pemain import.

"Kita tengok dari segi jaringan Melaka United memang bolos banyak, itu sebab kita tukar pertahanan untuk pusingan kedua. Pertahanan untuk pusingan kedua pun dah tak boleh main. Saya anggap lebih kepada nasib sahaja sekarang ni," katanya.

Gawang Melaka United bocor enam kali ketika tewas 2-6 kepada Kedah di halaman sendiri.
Jasmin Mecinovic atau lebih dikenali sebagai Jasmin terpaksa diketepikan selama enam minggu ekoran kecederaan lutut serius dimana pertahanan import itu dijangka hanya akan kembali beraksi untuk tiga perlawanan terakhir musim ini sahaja.

Melaka United bertandang ke Stadium Sultan Muhammad V esok bagi mengharungi perlawanan kelima kumpulan C Piala Malaysia menentang Kelantan.

Foto: Astro Arena, MUSA