.

.

Rebahnya tiga tahun Melaka di Liga FAM


Hidup segan, mati tak mahu. Itulah perumpamaan tepat bagi pasukan berstatus negeri, Melaka FA. Diluah mati mak namun ditelan mati bapak. Sejak pengumuman penjenamaan semula pasukan (rebranding) oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menjadi Melaka United Soccer Association (MUSA), barulah penyokong Melaka mampu menarik nafas lega.

Walaupun tidak melakukan perubahan besar seperti pasukan jiran Selatan, Johor Darul Takzim (JDT), usaha yang dilakukan Idris wajar diberikan pujian. Namun, penulis tidak mahu menyentuh isu MUSA kerana sehingga ke hari ini, sudah beberapa individu mula menerbitkan page di Facebook mahupun Twitter khas buat pasukan ini, walhal kemana hilangnya Melaka selama 3 musim kebelakangan ini tidak pernah diendahkan mahupun didedahkan.

KEMPEN 3 TAHUN DI LIGA FAM

Prestasi hambar dalam kempen Liga Perdana pada tahun 2010 menyebabkan Melaka terjerumus ke lembah hina dalam struktur liga bola sepak kebangsaan. Untuk rekod, Melaka menamatkan kempen di kedudukan kedua terbawah (ke-11) dalam liga, ketinggalan tiga mata dibelakang MP Muar, pasukan yang terselamat dari zon penyingkiran dan 10 mata di hadapan pasukan di dasar liga, Shahzan Muda.

Melaka United gagal memberikan saingan di Liga FAM biarpun hanya berdepan pasukan amatur.
Dalam musim terbabit, Melaka mencatat rekod kebolosan terbanyak bersama pasukan jiran, MP Muar dengan rekod 68 kali dibocori. Lebih memalukan, Melaka merekodkan kekalahan besar semusim dengan tewas 0-6 dan 2-8 kepada Sabah 3-5 dan 1-6 kepada Sarawak. Skrip sama berulang buat skuad Hang Tuah ini apabila beraksi di Liga FAM pada tahun 2011.

Harapan penyokong Melaka yang optimis pasukan mampu melakukan kebangkitan seperti The Reds Warriors nyata tinggal harapan. Walaupun hanya bersaing dengan pasukan berstatus kelab, Melaka terkapai kelemasan dalam liga yang tidak cukup kompetetif ini. Natijahnya, pasukan sekadar menamatkan kedudukan di tangga keenam dari sebelas pasukan. Maka berakhirlah hikayat dongeng yang dicuba dicipta pasukan Hang Tuah ini.

GAGAL... inilah kedudukan terakhir Melaka pada musim pertama di Liga FAM.
 Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, malang berterusan mendampingi Melaka apabila terus kekal di Liga FAM untuk musim ketiga apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh liga, satu tempat selamat dari tersingkir dari liga. Amat memalukan tapi inilah hakikat sebenar. Sebaliknya, pasukan berstatus kelab, SPA FC dan UiTM FC mara ke Liga Perdana meninggalkan Melaka terkapai-kapai bergelut di zon penyingkiran.

HILANG ARAH... tiada apa yang mampu dilakukan pihak pengurusan bagi mengembalikan maruah Melaka.
Musim lepas, pasukan ini mendapat tonik terbaik apabila anak jati, Fauzzi Kassim kembali ke pangkuan pasukan. Kehadiran penyerang berbisa ini dijangka mampu membantu Melaka layak ke Liga Perdana. Bekas penyerang Johor itu menunjukkan prestasi konsisten dalam setiap perlawanan namun sokongan dari rakan pasukan tidak cukup membantu menterjemahkan kemenangan dalam setiap perlawanan.

Namun, masalah dalam dan luar padang yang dicetuskan baik rakan sepasukan mahupun pihak pengurusan menyekat hasrat Melaka. Hasilnya, Melaka hanya berada di tempat keenam liga dan bakal beraksi di Liga FAM untuk tahun keempat berturut-turut.

GAGAL LAGI... kemasukan Fauzzi Kassim belum cukup membantu Melaka ke Liga Perdana.
Apakah sebenarnya punca kegagalan pasukan Melaka dari tahun 2010 sehingga 2013? Di mana silapnya? Disini terdapat beberapa kemungkinan yang jelas mengenai kegagalan pasukan ini sepanjang tiga musim di Liga FAM.

ROMBAKAN ATAU KONSPIRASI?
Usaha Ramli untuk merombak pasukan tidak berjaya selepas beliau disingkirkan diawal musim.
Selepas tersingkir ke Liga FAM, Melaka diambilalih oleh jurulatih, Ramli Junit. Perancangan bagi mengembalikan maruah Melaka berjalan dengan baik dengan sesi pemilihan pemain telah dilakukan dengan jayanya. Ramli berjaya membawa masuk beberapa pemain utama yang dirasakannya mempunyai kualiti untuk Melaka.

Disangkakan hujan sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Beberapa individu berkepentingan dalam pasukan nyata tidak 'berkenan' dengan pemain pilihan Ramli. Natijahnya, pemain pilihan Ramli disingkirkan dan pemain pilihan 'orang penting' dibawa masuk. Ramli digantikan dengan Manja Man. Tidak perlu diulas panjang lebar mengenainya. Jika anda faham mengenai MAFA, anda tahu kenapa ini terjadi dan siapa 'orang penting' itu. Rombakan atau konspirasi?

PENGABAIAN PASUKAN OLEH TUAN 'PRESIDEN'

Pernahkah Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam sebelum ini ambil kisah mengenai MAFA? Pernahkah beliau kisah akan sejauh mana pencapaian pasukan setiap musim? Apakah kebajikan pemain terbela? Cukupkah dana untuk pasukan setiap musim? Jawapannya tetap sama, tidak, tidak dan tidak.

Sepatutnya, Ketua Menteri secara automatik dilantik sebagai presiden persatuan bola sepak negeri namun, ia berlaku sebaliknya di Melaka. Ketua Menteri menyerahkan jawatan ini kepada exco kerajaan negeri, Datuk Yunos Husin. Hasilnya, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh ADUN Ayer Molek itu.

Awal musim 2013, Yunos bersama ahli majlis tertinggi MAFA telah mengadakan pertemuan dengan wakil penyokong dan beberapa komrad Ultras Taming Sari (UTS) bagi menjelaskan sasaran pengurusan untuk musim itu serta perbincangan mengenai lain-lain hal berkaitan pasukan.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri wakil media, MAFA kononnya menerangkan beberapa masalah yang dihadapi. Antaranya adalah seperti proses melunaskan gaji pemain yang tertunggak (beberapa musim lepas), tunggakan EPF yang besar (hampir mencecah tujuh angka), hutang persatuan hampir satu juta dan kegagalan mereka untuk menarik penaja untuk menaja pasukan.

Yunos (dua dari kiri) dipertanggungjawabkan mengemudi MAFA namun kredibilitnya sebagai pemimpin dipersoal.
Selain itu, penyokong turut mengemukakan beberapa tuntutan seperti menuntut pihak MAFA menyediakan papan iklan perlawanan paling tidak di satu di setiap daerah, mempersoalkan kemana perginya wang insentif layak ke perlawanan akhir Piala Emas Raja Raja 2012, sejauh mana ketelusan pihak pengurusan mengenai isu tuntutan gaji pemain dan menuntut jawapan mengapa rombakan mengejut dilakukan pada pertengahan musim 2012 (April) yang mencetuskan tanda tanya.

Satu perjumpaan antara Yunus (kanan), Hahi Salleh (dua dari kanan) dan sekumpulan penyokong Melaka.
Paling penting, penyokong menuntut Setiausaha Agung MAFA supaya meletak jawatan kerana merasakan beliau tidak layak dan mampu membawa pasukan untuk pergi jauh. Kredibiliti beliau dalam MAFA diragui penyokong walaupun beliau telah lama berada dalam sistem pentadbiran MAFA. Memorandum menuntut beliau meletak jawatan telah diserakan namun ianya bagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Beliau kekal sehingga EGM ke-56 lalu.

Cubalah tanya kepada pihak pengurusan, berapa kalikah mereka turun mengucapkan tahniah kepada pemain apabila mereka menang? Dan berapa kalikah mereka cuba untuk memberikan kata-kata perangsang apabila keputusan yang dicatatkan kurang memberangsangkan?

Intipati mesyuarat boleh didapati di sini: - Mesyuarat MAFA - Penyokong

ISU BOOKIE YANG BERPANJANGAN


Walaupun isu ini tidak pernah dinyatakan secara terangan namun, beberapa tindakan baik dari pemain mahupun dalam pasukan selama tiga musim diragui. Penulis mendengar khabar angin mengatakan terdapat beberapa tindakan pengurusan pasukan mendatangkan keraguan. Sebagai contoh, pengunduran pertukaran jurulatih pada 2011 dan digantikan jurulatih baru walaupun beliau baru sahaja dilantik pada awal musim (nama jurulatih enggan didedahkan).

Musim berikutnya juga episod sama berulang, melihatkan prestasi hambar pada permulaan musim, pengurusan merombak pasukan dengan membawa masuk pemain baru pada jendela perpindahan April 2012. Ada khabar yang diterima penulis, pemain yang disingkirkan adalah rata-ratanya pemain yang telah 'diupah' bookie untuk mengatur perlawanan. Ianya turut diakui oleh beberapa pemain dalam pasukan.

Musim lalu adalah musim yang amat menyedihkan. Walaupun pasukan mendapat sentuhan penyerang berbisa, Fauzzi Kassim, skuad ini tetap dihantui oleh beberapa pemain bookie. Natijahnya, permulaan yang lebab dipamerkan pasukan. Namun, pihak kejurulatihan berjaya mengesan kehadiran mereka dalam pasukan sehinggakan beberapa pemain ini meninggalkan pasukan sekaligus mengecilkan skuad sedia ada.

Penulis sendiri dapat melihat bagaimana 'daifnya' pasukan ketika mereka bertandang ke Ipoh musim lepas. Apabila penjaga gol utama, Mohd Bidaus disahkan tidak cergas, jurulatih terpaksa menggunakan penjaga gol skuad piala presiden untuk beraksi. Di bangku simpanan hanya terdapat beberapa pemain yang sekadar cukup untuk memenuhkan kuota. Tiada penjaga gol simpanan ketika itu. Amat menyedihkan.

SIKAP PEMAIN YANG MENJELIKKAN

Pasukan ini terus dihantui oleh pelbagai masalah. Menurut sumber, penulis dikhabarkan bahawa sikap yang ditunjukkan pemain amat mendukacitakan. Sudahlah pihak pengurusan yang teruk, sikap pemain telah memburukkan lagi keadaan.

Untuk sesi latihan yang diadakan, hanya beberapa pemain sahaja yang hadir menjalani latihan bersama pasukan. Beberapa pemain lain, merasakan mereka seperti 'bintang' apabila hanya akan hadir menjalani latihan bila mereka mahu. Mereka merasakan pasukan ini seperti 'bapak' mereka punya. Sikap ini bukanlah seperti bintang tapi lebih kepada 'binatang'.

Paling teruk, ada pemain yang hanya hadir pada hari perlawanan sahaja. Bagaimana untuk mewujudkan keserasian jika hanya bermain bersama pada hari perlawanan sahaja? Tidakkah ada rasa kasihan dalam diri mereka kepada penyokong yang datang dari jauh untuk memberikan sokongan kepada mereka? Penyokong yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi? Menghampakan.

HARAPAN MUSIM 2014

Dengan pengambil-alihan pucuk pimpinan MAFA yang baru oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron diharapkan dapat mewujudkan pasukan Melaka yang mantap dan menjadi pencabar utama dalam Liga FAM 2014 seterusnya layak ke Liga Perdana pada musim 2015.

Suka untuk penulis ingatkan kepada pihak pengurusan yang baru supaya berhati-hati terutama dalam pengambilan pemain dan sentiasa peka akan musuh dalam selimut yang mungkin menghancurkan pasukan satu hari nanti. Semoga, kejayaan sentiasa memihak kepada kita.

Oleh Wanchel, editor Melaka United Media
putbola@gmail.com

Foto: Media Sosial, FB Tan Chin Yang
Powered by Blogger.