.

.

Melaka United idam kejuaraan Liga FAM

IMPIAN JUARA... Melaka United merombak pasukan demi impian layak ke Liga Perdana 2015. Foto: MUSA
MELAKA, 5 Jan (Bernama) -- Melaka United memasang impian untuk menawan Liga FAM tahun ini berdasarkan persembahan memberangsangkan pasukan itu dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, kata Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United Datuk Seri Idris Haron.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata persiapan bagi menghadapi liga itu berjalan lancar dan jurulatih pasukan Ladislav Totkovic berasal dari Slovakia kini giat memantapkan pemainnya bagi menghadapi saingan Liga FAM yang bermula bulan depan.

"Berdasarkan perlawanan persahabatan terbaharu kita menentang JDT (Johor Darul Takzim) malam tadi, pemain telah menunjukkan permainan yang cukup bersemangat dan sistem taktikal yang amat menarik.

"Walaupun tewas 1-4 kita mampu memberi saingan hebat kepada pasukan pilihan JDT yang berstatus bintang...daripada persembahan itu kita ada peluang (untuk menang Liga FAM)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ahli Sunah Waljamaah di Masjid Al-Azim di sini Ahad.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini pasukan Melaka United yang baru menjalankan proses transformasi dengan pertukaran pengurusan dan keseluruhan barisan pemain akhir tahun lepas, mencatat keputusan memberangsangkan.

Antaranya, seri 1-1 dengan pasukan Liga Super Perak dan keputusan seri dengan dua pasukan Liga Perdana iaitu JDT II (1-1) dan Putrajaya SPA FC (0-0) serta menang 1-0 dengan pasukan Penjara Malaysia (bukan pasukan liga).

BERNAMA, 5 Januari 2014
Powered by Blogger.