.

.

LIGA FAM: MELAKA UNITED 0-0 PERAK YBU FC

Melaka United membuka kempen Liga FAM 2014 dengan langkah kiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Perak YBU FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput di sini hari ini.

Turun selaku pasukan pilihan, jurulatih, Latko Tatkovic melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utamanya, yang turut mencetuskan keraguan penyokong. Pasukan Melaka United gagal mempamerkan aksi seperti yang diharapkan dengan tempo perlawanan yang perlahan dan terikut dengan rentak pasukan pelawat.
LEPAS... Syaizil berjaya menggelecek melepasi kawalan pertahanan Perak YBU FC. Foto: MUSA.
Prestasi hambar Melaka United hampir memakan diri pada minit ke-24 apabila Perak YBU FC hampir-hampir berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma dari  dari kotak penalti, namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Izwan berjaya menafikan peluang pasukan pelawat itu.

Lima minit berselang, kealpaan barisan pertahanan Melaka United hampir memakan diri apabila penyerang Perak YBU berjaya melepasi perangkap offside namun cubaannya sedikit tersasar.

Cubaan tunggal Melaka United hadir pada minit ke-40 perlawanan menerusi tandukan penyerang, Yusri Abas namun dinafikan oleh penjaga gol lawan yang berjaya mengeluarkan bola sebelum menerjah jaring.

Pada separuh masa kedua, Melaka United memperolehi peluang terbaik menghasilkan gol menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Jimmy namun sepakan sepakan deras pertahanan itu berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.

Melaka United berterusan melancarkan serangan pada babak kedua namun ketumpulan jentera serangan membantutkan hasrat tuan rumah meraih tiga mata berharga dalam perlawanan sulung kempen Liga FAM 2014.

Minit ke-78, Yusri Abas sekali lagi tumpul dihadapan gol apabila cubaannya dari dalam kotak penalti lawan hanya singgah di tiang gol sebelah kiri lawan ketika penjaga gol Perak YBU FC telahpun tertewas.

Penyerang kelahiran Melaka itu hampir sahaja berjaya menebus kegagalannya menyempurnakan peluang sebelum itu apabila berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan namun dinafikan oleh penjaga garisan yang mendakwa Yusri berada dalam keadaan offside.

Tamat perlawanan, Melaka 0-0 Perak YBU FC. Walaupun mencatat keputusan seri, ia dianggap satu kegagalan kerana anak buah Latko Tatkovic gagal untuk menang dalam perlawanan terebut. Diharapkan pasukan ini akan bangkit mencatatkan kemenangan apabila bertandang ke Kuantan menentang Shahzan Muda Rabu (12 Mac) ini.

Melaka United: Khairul Izwan, Rahim Bakar, Jimmy, Sathiya, Farid Saibun (Wan Hossen), Rashid Mamud (KP), Amirul Omar, K.Rajan, Asyrul Wahab (Hamzah Ahmad), Yusri Abas, Syaizil Japery (Zaini Abdullah).
Powered by Blogger.