Header Ads

Analisa: Mac yang hambar

Rumusan Mac 2014

Ketibaan bulan April seolah-olah mengembalikan semula sinar kepada bola sepak Melaka United. Disebut-sebut sebagai pasukan pilihan sebelum bermulanya kempen liga, Melaka United gagal memenuhi impian menggunung peminat negeri Hang Tuah itu, yang telah lama dahagakan kejayaan.

MENGECEWAKAN... beraksi diluar kemampuan sebenar dalam aksi sulung Liga FAM 2014.
Membuka kempen di halaman sendiri menentang pasukan bukan pilihan, Perak YBU, jentera serangan yang dikemudi Yusri Abas buntu menghasilkan jaringan ketika pasukan pelawat tidak memberikan cabaran kepada barisan pertahanan. Seri tanpa jaringan bukanlah keputusan yang diharapkan.

KECUNDANG... tumpul di bahagian serangan dan dihukum lawan.
Selang tiga hari, giliran anak buah Latko Tatkovic bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Majlis Perbandaran Temerloh. Mendahului menerusi Amir Shahreen Mubin, Melaka United sepatutnya menang besar tetapi masalah sama di jentera serangan memberikan ruang kepada tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti. Kehilangan Jimmy di barisan pertahanan nyata memberikan impak besar apabila tuan rumah berjaya menjaringkan gol kemenangan 12 minit sebelum wisel penamat dibunyikan, tewas 1-2.

BERGAYA... tewaskan pasukan MISC-MIFA di halaman sendiri.
Kekalahan tersebut nyata memberikan tamparan hebat buat Tatkovic. Melaka United bangkit mencatat kemenangan sulung di halaman sendiri selepas membelasah pasukan baru, MISC-MIFA 5-2, menyaksikan Yusri Abas merakam hatrik sulung kempen Liga FAM 2014.

TUMBANG... tewas kepada Kuala Lumpur dengan persembahan terburuk sepanjang musim.
Momentum kemenangan gagal dijelmakan dalam perlawanan berikutnya apabila Melaka tersungkur di kaki Kuala Lumpur 1-3 di Bangi, walaupun pada satu ketika berjaya mendahului lawan menerusi jaringan K.Rajan.

KECEWA... gagal menyempurnakan peluang dan dihukum di akhir perlawanan menentang PBM Kedah.
Kekecewaan demi kekecewaan terus menghantui Melaka United apabila dipaksa seri 1-1 di gelanggang sendiri apabila melepaskan gol mudah pada minit-minit akhir perlawanan.

Ketumpulan Jentera Serangan

YUSRI ABAS... perlu perbaiki sentuhan penyudah atau kekal di bangku simpanan.
Kegagalan menyempurnakan peluang sering membawa padah kepada Melaka United. Taktikal Latko Tatkovic yang meletakkan Yusri Abas selaku penyerang tunggal ternyata sia-sia. Penyerang prolifik musim lalu, Fauzzi Kassim dibelenggu masalah kecederaan yang menyebabkan kemungkinan bekas skipper Melaka itu diketepikan sehingga akhir musim.

JOHN... Shaizil kini sandaran utama jentera serangan Melaka United.
Penyerang lain seperti Ahmad Aminuddin Shaharudin dan Muhammad Adli Ahmad gagal menyakinkan jurulatih sebelum Melaka United membawa masuk dua penyerang baru pada jendela April, Muhd Shaizil Japerey dari Samb FC dan Hasrul Nurkholis, bekas pelajar UiTM yang dilihat semakin serasi mengemudi jentera serangan pasukan.

Tiada Jiwa

Rata-rata peminat menyatakan kekecewaan mereka terhadap prestasi terumbang-ambing pasukan sepanjang lima perlawanan awal pasukan. Bagi mereka, pembayaran gaji yang tinggi untuk pemain berprofil tinggi seakan-akan tidak berbaloi dengan prestasi semasa yang ditonjolkan mereka.

Peminat merasakan pemain bermain hanya berpaksikan kewangan tanpa memikirkan harapan menggunung penyokong yang mahu melihat Melaka United kembali ke Liga Perdana dan Liga Super.

KONSISTEN... aksi Jimmy tidak pernah mengecewakan peminat.
Hanya beberapa pemain dilihat bermain dengan 'jiwa' seperti Ahmad Khuzaimi 'Jimmy', Wan Hossen Wan Abdul Ghani, K.Sathiya, K.Rajan, Khairul Izwan dan selebihnya dianggap pelaburan sia-sia.

Taktikal Jurulatih

Peranan Latko Tatkovic dalam pasukan mula dilihat pudar. Tiada permainan hantaran pendek cantik seperti yang ditonjolkan seperti dalam aksi awal pramusim. Segalanya serba tidak kena.

Percaturan Tatkovic mula diragui sejak aksi pusingan awal Piala FA dimana pemilihan pemain untuk kesebelasan utama mencetuskan kemarahan penyokong.

KREDIBILITI... Rahim Abdullah (kiri) mampu mengendalikan pasukan semasa ketiadaan Tatkovic.
Tindakan merehatkan Tatkovic dengan penolong, Rahim Abdullah mengambil alih pasukan menampak kembali sinar dalam pasukan. Tatkovic dilihat kembali mengemudi pasukan ketika menang tipis menentang Kuantan FA di Stadium Darul Makmur minggu lalu dan tiada baju merah jambu yang dipakai beliau seperti kebiasaan.

Membawa Masuk Pemain Berkualiti

JASMER MEHAT... produk  berkualiti skuad Presiden yang diserap masuk ke dalam  pasukan utama.
Melaka United seharusnya menggunakan kesempatan ketika jendela perpindahan dibuka April ini dengan membawa masuk pemain berkualti ke dalam pasukan. Dilaporkan pihak pengurusan telahpun memberikan surat amaran kepada pemain yang gagal beraksi dengan baik termasuk pemain yang tercedera.

Pihak pengurusan perlu bertindak proaktif jika mahu trofi Liga FAM diusung ke Bandaraya Melaka.

Powered by Blogger.