Header Ads

KOLUM PENULIS: MAT ZAN JURULATIH BARU MELAKA UNITED?

Oleh Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com

Nama bekas pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris kian hangat diperkatakan dan disebut-sebut bakal mengendali pasukan Liga FAM, Melaka United (MU) musim hadapan. Biarpun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya, pembantu jurulatih skuad Harimau Muda B itu dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali sementara, Rahim Abdullah.

Mat Zan Mat Aris.
Foto: Sinar Harian
Man Zan sebelum ini pernah membimbing beberapa pasukan lain seperti Kuala Lumpur, Telekom Melaka, KL Plus, Pos Malaysia dan Terengganu. Ketika bersama skuad Sang Penyu, Mat Zan berjaya membawa pasukan dari Pantai Timur itu mara ke pusingan kedua Piala AFC dan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Pada 2012, Melaka dibawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin, dilapor cuba mendapatkan Mat Zan namun rundingan gagal atas faktor permintaan gaji dan elaun yang tinggi daripada jurulatih itu.

Mat Zan pernah diminta oleh Utusan Malaysia bagi mendapatkan komen mengenai spekulasinya membimbing Melaka pada 2012 dan berkata dia menganggapnya sebagai cabaran besar dalam usaha mengembalikan maruah bola sepak Melaka.

"Tiada masalah buat saya menerima tawaran MAFA jika mereka benar-benar mahukan saya dan saya sendiri sudah menetapkan sasaran tersendiri seandainya mengendalikan Melaka musim depan.

"Sudah tentu saya mahu memulihkan kembali maruah bola sepak Melaka selepas sekian lama sepi dalam saingan Liga Malaysia dan saya bersedia memikul tugasan yang akan diberikan.

"Biarpun saya mempunyai banyak pengalaman membimbing pasukan-pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana, bersama Melaka di Liga FAM mungkin akan jadi satu cabaran berbeza.

"Itu menjadi harapan saya iaitu membawa Melaka naik ke Liga Perdana dan seterusnya menghidupkan kembali nama negeri ini dalam peta bola sepak negara, sebuah negeri yang satu ketika dahulu mempunyai ramai pemain ternama," katanya dalam artikel yang disiarkan pada 2 Disember 2012 itu.

UBAH ANGIN... Nizaruddin dijangka sertai revolusi Mat Zan di Melaka
Foto: Utusan
Seperti peminat sedia maklum, Mat Zan gemar menggunakan bakat-bakat tempatan terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman yang diadun bagi menjadikan pasukannya digeruni. Antara nama yang disebut-sebut bakal menyertainya di Stadium Hang Jebat adalah bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang bermain untuk sebuah lagi pasukan Liga FAM, KL MOF FC.

Apakah anda lihat dengan pelantikan Mat Zan mampu mengembalikan maruah bola sepak Melaka dengan sekurang-kurangnya layak ke Liga Perdana pada 2016? Atau indah khabar dari rupa? Bangkitlah Melaka dari terus dihina!
Powered by Blogger.