.

.

Fokus Liga Perdana


Tumpukan sahaja Liga Perdana. Itulah yang dikatakan pengurus Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengenai sasaran dua kejohanan yang disertai pendahulu Liga Perdana itu.

Langkah ini diambil pihak pengurusan bagi mengelakkan para pemain daripada kepenatan serta kebimbangan terhadap kecederaan pemain utama pasukan itu.

Mohd. Yusof ketika ditemubual oleh Radio MelakaFM memberitahu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ir. Idris Haron baru-baru ini.

"Pengurus pasukan telah bermesyuarat dengan Idris dan mengambil keputusan untuk lebih fokus di Liga Perdana daripada Piala Malaysia.

"Keputusan ini diambil kerana memikirkan faktor kecederaan dan keletihan pemain-pemain Melaka United,"  katanya dalam akaun Facebook rasmi Melaka United Soccer Association (MUSA) hari ini.

Melaka United kini mendahului carta Liga Perdana dengan 42 mata meninggalkan JDT II di tangga kedua dengan perbezaan lima mata.

Kempen Piala Malaysia bagi pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris musim ini kurang memberangsangkan selepas hanya merakamkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan.

Melaka United dijadualkan bertemu pendahulu kumpulan D, Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Selasa ini.
Powered by Blogger.