.

.

Beri ruang pengurusan majukan Melaka United

JUARA... Melaka United berjaya menjulang trofi Liga Perdana selepas mengetepikan cabaran PKNS FC dan JDT II - Gambar: Utusan Online
“Beri ruang kepada pengurusan untuk terus memajukan pasukan ke arah misi yang lebih baik dalam pembangunan bolasepak negara.”

Itu merupakan kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berhubung tindakan mereka melakukan rombakan besar menggugurkan beberapa pemain termasuk tiga permain import bagi menghadapi kempen Liga Super musim depan.

DIGUGURKAN... Balsa Bozovic (kiri) dan Shin Jaepil (kanan) digugurkan pada pertengahan musim akibat kecederaan dan kemerosotan prestasi.
Menjadikan contoh pengguguran dua tonggak import, Balsa Bozovic dan Shin Jaepil ketika pertengahan musim, MUSA berkata, itu merupakan satu tindakan tepat walaupun mendapat kritikan dan tentangan daripada beberapa pihak.

Justeru, menurut MUSA, pengurusan sedang merencanakan perancangan terbaik bagi pasukan Melaka United untuk bersaing dalam Liga Super sekali gus memastikan juara Liga Perdana 2016 itu tidak terperosok ke dasar liga.

“Anda mungkin tidak mengetahui cetusan idea pengurusan ini yang membuat suatu keputusan bagi menukarkan beberapa pemain termasuk dua pemain import yang waktu itu sudah elok untuk dikekalkan. 

“Dengan kemasukan pemain import baharu dan beberapa pemain tempatan, kita lihat pasukan terus ke hadapan dan menerajui liga dengan satu pencapaian yang amat membanggakan. Misi kita selepas ini, Liga Super dan banyak lagi perkara utama yang harus difikirkan agar apabila berada di Liga Super, tiada ruang untuk jatuh kembali,” katanya.

Dalam pada itu, MUSA turut mengingatkan penyokong agar tidak terlalu negatif dengan tindakan yang dilakukan pengurusan, sebaliknya terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk Melaka United.

“Sebagai penyokong haruslah lebih banyak memberi sokongan kepada pengurusan dan bukannya mencari kelemahan yang boleh menghalang kejayaan yang manis pada masa depan,” tegas MUSA.

CEMERLANG... Kontrak Mat Zan Mat Aris tidak disambung Melaka United walaupun berjaya julang dua trofi dalam dua tahun. Gambar: FB MUSA
Mat Zan Mat Aris sebelum ini berjaya membawa Melaka United kembali ke Liga Super walaupun selepas hanya dua tahun membimbing pasukan.

Di bawah bimbingan Mat Zan, Melaka United menjulang kejuaraan Liga FAM selepas menewaskan Perlis, 3-2 di perlawanan akhir, diikuti dengan kejayaan sebagai juara Liga Perdana pada musim ini. 

Keputusan pengurusan MUSA tidak menyambung kontrak Mat Zan membangkitkan kemarahan segelintir penyokong yang mahu jurulatih itu dikekalkan.

Selain itu, hanya 10 pemain dilaporkan dikekalkan Melaka United bagi mengharungi kempen musim depan dengan beberapa nama besar bola sepak tempatan dijangka tiba di Stadium Hang Jebat.

Jawatan jurulatih Melaka United masih lagi belum diisi dengan beberapa nama seperti Velizar Popov, Eric Williams, Datuk Ong Kim Swee dan beberapa jurulatih asing dikaitkan dengan kekosongan yang ditinggalkan Mat Zan.
Powered by Blogger.