.

.

Bertenang Spaso, masanya akan tiba


RATA-RATA penyokong Melaka United kini menyatakan kegusaran mereka terhadap prestasi kapten, Ilija Spasojevic atau Spaso yang gagal meledak sebarang gol dalam tiga aksi Liga Super.

Walaupun berjaya meledak 25 gol dalam 27 perlawanan musim lalu, penyerang berasal dari Montenegro itu gagal menjaringkan gol biarpun beraksi penuh 90 minit dalam kesemua aksi bersama pasukan.

Namun, itu bukan sesuatu yang pelik buat Spaso apabila dia turut mengalami masalah sama pada awal musim lalu biarpun berjaya meledak gol dalam aksi pramusim tahun lalu.

Mungkin penyerang berusia 29 tahun itu 'lambat panas' tetapi dia membayangkan akan cuba bangkit dalam aksi Piala FA menentang PKNS di Stadium Hang Jebat, malam ini.

BERBISA... Spasojevic mempamerkan sentuhan penyudah berkesan dalam aksi pramusim 2016.
Bercakap kepada Astro Arena, Spaso memberitahu dia berasa sangat kecewa dengan pencapaiannya setakat ini namun akan meningkatkan motivasi bagi mempertajamkan penyudahnya.

“Berdepan PKNS akan menjadi medan kebangkitan saya.

"Adakalanya mudah dihasilkan dan ada ketika terdapat masa sukar untuk menjaringkan gol. Apa yang penting adalah untuk mengekalkan tahap kekuatan mental, terus bekerja keras dan tidak berputus asa," kata Spaso.

Apa yang perlu dilakukan Spaso kini adalah perlu lebih tenang di hadapan gawang selain perlu bijak mencuri ruang dan memperdayakan pertahanan lawan.

Usah bimbang kapten, sokongan tidak berbelah bagi akan terus diberikan penyokong kepada Melaka United!

Foto: MUSA
Powered by Blogger.