.

.

Kemenangan sulung di Liga Super


TIGA mata penuh berjaya dibawa pulang Melaka United dari Kuching selepas berjaya menundukkan tuan rumah, Sarawak di Stadium Negeri, dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Dalam aksi di Petra Jaya itu, Ketua Jurulatih, Eric Williams mengekalkan barisan sama ketika menundukkan PKNS FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA, selasa lalu.

Perlawanan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak pertama dengan tuan rumah dilihat banyak mencipta beberapa gerakan berbahaya bagi mengancam kubu Melaka United yang dikawal Mohd. Fazli Paat.

Namun, Melaka United berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang daripada gerakan serangan balas pantas untuk meraih gol pertama perlawanan.

Kapten, Ilija Spasojevic yang dikawal ketat pertahanan Sarawak mendada bola ke arah tonggak dari Korea Selatan, Jeon Woo Yong yang kemudiannya melepas satu sepakan leret menewaskan Mohd. Shahril Sa'ri di gawang tuan rumah.

Untuk rekod, itu merupakan gol ketiga Woo Young dalam lima perlawanan untuk Melaka United musim ini.

Sarawak cuba bangkit mencari gol penyamaan namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Matteo Roskam menghampakan penyokong Sarawak.

Separuh masa kedua menyaksikan Sarawak memperoleh dua peluang keemasan pada minit ke-47 namun ketangkasan Mohd. Fazli yang berjaya menepis bola keluar lencongan Mark Hartmann.


Melaka United turut memperoleh peluang menambah gol namun tandukan Spasojevic sekadar beberapa sentimeter dari gawang Sarawak.

Kemenangan sulung ini membantu lonjakan pasukan bimbingan Williams keluar dari zon penyingkiran selepas mengutip empat mata dari empat perlawanan.

Bagi perlawanan seterusnya, Melaka United bakal bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menentang Kelantan pada Selasa ini selepas perlawanan yang sepatutnya dijadualkan pada 21 Januari lalu ditangguhkan kerana faktor cuaca.
Powered by Blogger.