Header Ads

Spasogol akhiri kemarau jaringan


KAPTEN Melaka United, Ilija Spasojevic menamatkan kemarau jaringan dalam lima perlawanan musim ini selepas membantu skuad Sang Kancil menundukkan Kelantan, 2-0 di Kota Bharu, malam tadi.

Penyerang prolifik dari Montenegro itu sebelum ini menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak kerana gagal menjaringkan gol serta membentuk kombinasi terbaik bersama gandingan, Mohd. Amri Yahyah.

Bagaimanapun, Spasojevic malam tadi berjaya menutup mulut pengkritik menerusi jaringan pertama Melaka United dan membantu pasukan mencatatkan kemenangan kedua-berturut-turut di Liga Super.

Lebih manis lagi, kedua-dua kejayaan meraih tiga mata penuh berkenaan diperoleh daripada aksi sukar di gelanggang dalam.

Melaka United turun ke Stadium Sultan Muhammad IV bagi memburu kemenangan kedua Liga Super selepas menundukkan Sarawak, 1-0 di Kuching, Sabtu lalu.

Ketua Jurulatih, Eric Williams mengekalkan kesebelasan sama ketika aksi di Stadium Negeri Sarawak bagi aksi menentang The Red Warriors yang sepatutnya berlangsung 21 Januari lalu.

Dalam aksi malam tadi, tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan menerusi beberapa gerakan berbahaya namun benteng ampuh gandingan Mohamad Faizal Mohammad dan Godwin Antwi berjaya mengekang asakan lawan.

Tonggak import dari Korea Selatan, Jeon Woo Young hampir meletakkan Melaka United di depan pada awal babak pertama namun percubaannya menyaksikan bola hanya singgah di palang gol, biarpun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas.


Benteng terakhir, Mohd. Fazli Paat mempamerkan aksi menakjubkan pada babak pertama selepas berjaya menyelamatkan dua percubaan wajib gol penyerang import Kelantan, Mohamad Ghaddar sekali gus mengecewakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV.

Kapten Melaka United, Ilija Spasojevic menamatkan kemarau jaringan selepas menolak bola ke gawang Kelantan melepasi kawalan Khairul Fahmi pada minit ke-59 untuk gol pertamanya dalam perlawanan kompetetif musim ini.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan cuba bangkit menguasai perlawanan dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya.

Namun, Melaka United yang dilihat mengamalkan corak permainan berpasukan berjaya menyerap segala asakan lawan.

Keghairahan tuan rumah mencari gol penyamaan dihukum penyerang gantian Melaka United, Mohd. Fauzi Roslan yang masuk bagi menggantikan Spasojevic pada minit-minit akhir perlawanan.

Ketika perlawanan menuju masa penamat, Mohd Fauzi mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng Kelantan apabila merembat cantik melepasi Khairul Fahmi untuk gol kedua Melaka United.

Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke tangga ketujuh Liga Super dengan tujuh mata, dibezakan jaringan dengan pasukan di kedudukan keenam, PKNS FC selepas lima perlawanan.

Skuad bimbingan Williams ini akan berdepan cabaran pasukan yang berada di kemuncak prestasi, Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Ayuh sama-sama penuhkan Stadium Hang Jebat bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan bagi perlawanan keenam liga musim ini.

Foto: MUSA

No comments

Powered by Blogger.