.

.

Momentum kemenangan berakhir di Hang Jebat


MOMENTUM kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut gagal dikekalkan Melaka United apabila tunduk mudah, 1-3 kepada Pahang dalam aksi keenam Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Turun tanpa penyerang berbisa, Ilija Spasojevic yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan, Ketua Jurulatih, Eric Williams menyenaraikan pemain muda, Syed Sobri Syed Muhammad dalam kesebelasan utamanya.

Melaka United terlebih dahulu ketinggalan apabila pemain sayap, Joseph Kalang Tie meletakkan pelawat di hadapan selepas memperdaya pertahanan, G. Puaneswaran sebelum menyepak kencang dari luar kotak untuk gol pertama Pahang.

R. Surendran terlepas peluang keemasan menyamakan kedudukan namun pemain sayap itu sekadar menyepak liar hantaran Mohd. Amri, biarpun dia tidak dikawal.

Belum pun sempat Melaka United memperkemaskan barisan pertahanan, pelawat terus menggandakan jaringan menerusi Matthew Alves apabila menanduk masuk hantaran silang Matthew Davies pada minit ke-43.

Babak kedua menyaksikan Pahang terus menambah gol ketiga menerusi pemain sayap, Mohamadou Sumareh yang berpunca daripada gerakan serangan balas pantas, memperdaya Ahmad Ezrie Shafizie sebelum merembat deras menerjah gawang Melaka United.

Kemasukan Sergio Aguero dan Mohd. Fauzi Roslan pada 30 minit terakhir mengubah corak permainan tuan rumah apabila dilihat mula mengatur beberapa gerak berbahaya ke kubu lawan.

Usaha itu berhasil pada penghujung permainan apabila pemain gantian, Ahmad Khuzaimie Piee berjaya menjaringkan gol saguhati selepas menyambung hantaran lambung Mohd. Amri pada minit ke-90.

Keputusan tersebut menyaksikan Melaka United merekodkan tiga kekalahan dalam enam perlawanan, satu seri dan dua kemenangan.

Keletihan dikatakan mungkin antara faktor kepada kekalahan malam tadi selepas pasukan mengharungi dua perlawanan di gelanggang lawan dalam tempoh empat hari, minggu lalu.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.