.

.

Tiada masalah antara kami


TIADA sebarang masalah antara kedua-dua bintang serangan Melaka United, Ilija Spasojevic dan Mohd. Amri Yahyah. 

Sebaliknya, Mohd. Amri berkata, mereka masih lagi membentuk keserasian di dalam padang bagi mencapai keputusan yang terbaik buat pasukan.

"Antara saya dan Spasojevic tiada masalah, di dalam padang mungkin reaksinya berbeza. Itu yang orang nampak macam tiada keserasian (antara kami).

"Tapi dalam pasukan, kami okey. Doakan untuk pasukan Melaka United (agar) berjaya di Liga Super," kata penyerang berasal dari Selangor itu.

Penyokong Melaka United yang menyaksikan beberapa perlawanan terbaharu pasukan baru-baru ini mendakwa kedua-dua penyerang berkenaan seolah-olah 'tidak sebulu' dan gagal membentuk kombinasi serangan yang baik.

Sementara itu, Spasojevic turut melahirkan kenyataan yang sama ketika dihubungi menerusi akaun Facebooknya.

"Saya dan Mohd. Amri tiada masalah. Kami tidak boleh menghantar bola sesama sendiri setiap masa. 

"Tetapi tiada sebarang masalah peribadi antara semua pemain dalam skuad ini. Kami perlu menyokong pasukan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Dalam pada itu, Spasojevic dalam status terbaharunya di akaun Facebook memuji kerjasama daripada Mohd. Amri dan Jeon Woo Yong untuk gol kemenangan menentang Sarawak, Sabtu lalu.

"Bantuan gol menentang Sarawak pada 18 Februari. Kerjasama berpasukan terbaik daripada Mohd. Amri dan Woo Young," ujar Spasojevic.

Melaka United akan turun menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV esok untuk aksi kelima Liga Super selepas ditangguhkan akibat faktor cuaca.


Powered by Blogger.