.

.

'Budak nakal' kembali ke Melaka United?


MUNGKINKAH 'budak nakal', Labinot Harbuzi atau lebih mesra disapa Labi kembali ke pangkuan Melaka United apabila jendela perpindahan dibuka semula April ini.

Segalanya mungkin selepas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan pasukan Liga Super itu sedang mempertimbangkan beberapa calon import baharu termasuk Labi.

Bercakap kepada Berita Harian, Mohd. Yusoff berkata, sentuhan Labi amat ditagih pasukan khususnya menerusi hantaran-hantaran berkualiti serta kemampuan mengemudi jentera tengah yang kini merupakan antara kelemahan terbesar skuad bimbingan Eric Williams itu.

"Labi mungkin menyarung kembali jersi Melaka United selepas khidmatnya tidak dilanjutkan menjelang Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Kami memang memerlukan sentuhannya bagi mengisi posisi tengah skuad berkenaan yang dikatakan hambar dan kurang menyengat.

"Apapun keputusan terakhir selepas prestasi pemain import sedia ada dinilai dalam baki tiga perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super bermula 15 Mei ini," katanya semalam.

Labi merupakan salah seorang pemain import yang disifatkan 'nakal' tetapi disayangi penyokong kerana aksi menakjubkan di atas padang bairpun terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan di awal musim angkara kecederaan.


Sudah tentu, kepulangan Labi merupakan satu 'hadiah' buat kapten, Ilija Spasojevic yang sebelum ini dapat membentuk keserasian yang baik dengan pemain kelahiran Sweden tersebut.

Hasilnya, Spasojevic meraih Kasut Emas Liga Perdana 2016.

Namun, Mohd. Yusoff mengingatkan bahawa perkara tersebut masih diperingkat perbincangan dan tiada sebarang keputusan dibuat sehinggalah prestasi pemain import lain dikaji semula.

"Labi ada dalam senarai awal kami, namun keputusan belum muktamat dan kami perlu menilai pelbagai aspek sebelum menyenaraikannya semula," ujarnya.

Jika Labi kembali, siapa pula bakal angkat kaki?

Foto: Media Sosial, PBM
Powered by Blogger.