.

.

Hasrat raih tiga mata penuh tidak kesampaian


HARAPAN Melaka United untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Negeri Pulau Pinang tidak kesampaian apabila jaringan lewat permainan tuan rumah mengikat kedudukan 1-1 dalam aksi Liga Super malam tadi.

Ketua Jurulatih, Eric Williams melakukan rombakan dalam kesebelasan utama apabila membawa masuk Ahmad Khuzaimie Piee, Sergio Aguero dan sekembalinya kapten, Ilija Spasojevic daripada kecederaan.

Percaturan tersebut ternyata berbaloi apabila Ahmad Khuzaimie atau Jimmy membalas kepercayaan yang diberikan apabila menanduk masuk gol pertama pelawat seawal minit kelima perlawanan, hasil hantaran Mohd. Amri Yahyah.

Namun, Melaka United terpaksa menerima tamparan hebat apabila Spasojevic terpaksa diusung keluar pada minit ke-24 akibat kecederaan dan digantikan dengan Mohd. Fauzi Roslan.

Pasukan pelawat selepas untuk mengendurkan serangan sekali gus membuka peluang kepada Pulau Pinang mencari gol penyamaan.

Beberapa gerakan berbahaya cuba direncakan jentera serangan Melaka United menerusi trio, Amri, Aguero dan Mohd. Fauzi namun gagal menembusi gawang Harimau Kumbang yang dikawal Syed Adney Syed Hussein.


Kelekaan pada minit-minit akhir membawa padah apabila tuan rumah berjaya menembusi gawang Melaka United yang dikawal Mohd. Fazli Paat apabila Reinaldo Lobo berjaya meledak dari jarak dekat untuk memberikan Pulau Pinang mata pertama mereka dalam kempen Liga Malaysia musim ini.

Gol tersebut nyata memberi tamparan kepada skuad bimbingan Williams yang kini memburu kemenangan selepas tunduk, 1-3 kepada Pahang, minggu lalu.

Melaka United bakal bertandang ke Stadium Darul Aman pada Sabtu ini bagi perlawanan kelapan Liga Super menentang pendahulu liga, Kedah.

Masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya di bahagian pertahanan yang kerap melepaskan gol mudah sehingga memberi kesan terhadap aksi dan keputusan perlawanan. Ayuh bangkit tundukkan Sang Kenari di sarang mereka.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.