.

.

Macam ada yang tidak kena - Idris


KEMEROSOTAN prestasi yang dipamerkan skuad kendalian Eric Williams dalam tiga perlawanan terakhir perlu segera diperbaiki bagi mengelakkan berdepan risiko penurunan divisyen serta hilang sumber kewangan daripada penajaan.

Perkara tersebut diutarakan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Haron  dalam slot 30 Minit Bersama beliau di Radio MelakaFM hari ini.

Idris berkata, beliau berasa kecewa dengan persembahan dan keputusan yang dicatatkan Melaka United dalam kempen Liga Super yang menyaksikan Melaka United kini berada di tangga kesepuluh, satu mata mengatasi Sarawak dan enam mata mendahului Pulau Pinang.


Tegas Idris, beliau sudah bosan dengan prestasi yang dipamerkan pasukan dan meminta Timbalannya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Williams supaya segera memperbetulkan keadaan.

"Ini bukan pelaburan yang kita anggap calang-calang. Kita mahu pasukan bergaya di Liga Super dan tidak mahu menjadi ratahan kepada pasukan-pasukan senior lain.

"Mohd. Yusoff dan Williams perlu lakukan sesuatu, jangan sampai kita dilihat seperti pasukan yang tiada kewibawaan. Kalah pun biarlah bermaruah dan kita bermain bersungguh," katanya.


Dalam pada itu, Idris berkata, sekiranya pemain-pemain tidak dapat mempamerkan persembahan yang baik, mereka perlu dipanggil dan diberikan amaran keras.

"Kalau pemain tidak dapat tunjukkan semangat permainan yang baik, saya kira mereka perlu dipanggil semula dan diberikan amaran keras kerana mereka bukan sahaja bawa misi persatuan tetapi seluruh rakyat dan penyokong Negeri Melaka.

"Saya memang orang kata dah jadi meluat, macam ada sesuatu tidak kena. Kalau kalah begitu teruk dengan jaringan mudah pihak lawan, saya kira bukan satu nasib. 

"Eloklah sebelum perkara lebih buruk berlaku, pengurusan dan kejurulatihan lakukan sesuatu yang terbaik untuk pasukan. Kalau tidak, ianya akan menjadi bahan (ketawa orang) dan saya rasa malu mohon bantuan sumbangan daripada pelbagai pihak," tegas beliau.


Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau tidak menghalang 'orang kuatnya' itu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi mengingatkan agar perkara tersebut tidak membuatkan beliau mengabaikan Melaka United.


"Saya minta Mohd. Yusoff hendak jadi Timbalan (FAM) saya tak halang tetapi jagalah, kewibawaan bergantung kepada prestasi pasukan kita.

"Kalau pasukan kita menjadi belasahan dan bahan tertawa orang lain, bagaimana kita hendak pegang jawatan besar dalam persatuan kerana orang ramai akan kata, hai Melaka United pun tak terjaga, nak jaga pasukan Malaysia," katanya.

Kata Idris, perkara tersebut (prestasi) masih lagi boleh diperbetulkan kerana Liga Super belum lagi menginjak ke pusingan kedua perlawanan.

"Ini datang dari hati saya kerana menganggap perkara ini sebagai yang boleh diperbetulkan lagi. Kita masih lagi berada di pusingan pertama. masih banyak lagi perlawanan tetapi prestasi Melaka United kita boleh kekal begini," ujar pemimpin nombor satu Melaka itu.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.