.

.

Ambil serius atau angkat kaki - Idris


PRESTASI hambar yang dipamerkan Melaka United sepanjang kempen musim ini semestinya memberikan 1001 kekecewaan kepada penyokong yang mengharapkan skuad bimbingan Eric Williams itu sekurang-kurangnya mampu memberikan saingan dan menempatkan diri dalam kelompok pertengahan liga.

Perkara tersebut mendapat perhatian serius Ketua Menteri, Datuk Seri Ir. Idris Haron yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) apabila beliau tanpa berselindung memberi amaran kepada pengurusan dan pemain pasukan agar segera bangkit menamatkan rentetan kekalahan.

Bimbang apabila pasukan kini berada hanya satu tangga di atas zon penyingkiran, Idris memberi amaran kepada pengurusan agar mencari solusi terbaik atau berundur dengan memberikan peluang kepada individu lain yang dilihat mampu melakukan dengan lebih baik.

"Jadi, semua pihak perlu serius dalam mengurus dan mentadbir pasukan ini. Kalau tidak, ramai orang lain yang boleh lakukan lebih daripada apa yang ada di hadapan kita (sekarang ini). 

"Saya berharap semua orang bersedia dan pastikan Melaka United akan bermain lebih baik. 

"Kalau tidak ada pemain yang digugurkan, maknanya dia berprestasi baik. Sudah pasti ada pihak mesti bertanggungjawab. Jika tiada pemain digugurkan, saya nampak pengurusan akan digugurkan, saya akan lakukan jika terpaksa," katanya dalam sidang media, kelmarin.


Dalam pada itu, Idris menambah, beliau tidak mahu Melaka dianggap pasukan yang lemah dan dipandang rendah oleh pasukan lain.

Menurut bapa transformasi bola sepak moden Melaka itu, beliau tidak boleh terima keadaan yang berlaku dalam pasukan ketika ini kerana pelaburan yang tinggi diletakkan dalam pasukan adalah untuk kebaikan bersama.

"Saya tidak mahu kalau lawan Melaka United dilabel gerenti menang. Saya tidak mahu. 

"Contohnya, Johor Darul Ta'zim (JDT) lawan Melaka United. Mereka kata main (dengan) sebelah kaki pun (boleh) menang. Itu saya tidak mahulah. Janganlah Melaka United dilabel sedemikian rupa," katanya.


Foto: Utusan Online
Video: Melaka Hari Ini
Powered by Blogger.