.

.

Apa sudah jadi?


KALAU menang 2-1, kocik bona, 4-1 sonyum lebar tetapi bagaimana agaknya rasa MENANGgung kekalahan besar 0-7 dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi?

Apa lagi agaknya alasan yang akan diberikan baik ketua jurulatih, pengurusan dan pemain selepas hampir kesemua pemain sudah kembali pulih bagi menghadapi perlawanan kesembilan Liga Super musim ini.

Rehat yang panjang bagi memberi ruang kepada aksi persahabatan antarabangsa dan kelayakan Piala Asia gagal digunakan sebaik mungkin bagi menyediakan skuad dengan benteng ampuh yang mampu bersaing di liga nombor satu di negara ini.

Natijahnya, penyokong tuan rumah berbaloi-baloi membayar tiket untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka 'kenduri' gol membelasah pasukan jiran, Melaka United.

Dalam aksi di Larkin, pasukan bimbingan Benjamin Mora itu perlu tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan penyerang berbisa, Gabriel Guerra.

Pemain tengah, Safiq Rahim terus menggandakan jaringan tuan rumah selang 11 minit selepas itu apabila mudah menembusi pertahanan Melaka United untuk meledak gol kedua pasukannya.

Belum pun sempat skuad bimbingan Eric Williams itu memperkemaskan benteng pertahanan, JDT terus menambah gol ketiga pada minit ke-22 sementara Gonzalo Cabrera turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-33 untuk jaringan keempat JDT.

Pemain sayap, Azammuddin Akin terus menambah derita pelawat sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila meledak gol kelima JDT pada minit ke-46.

Safiq sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Melaka United apabila menambah dua lagi gol pada minit ke-58 dan 87 sekali gus mencipta hatrik dalam perlawanan ini.

Kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Melaka United di tangga ke-10 Liga Super dengan lapan matas mengatasi Sarawak dan Pulau Pinang di dasar liga.

Foto: UTUSAN ONLINE
Powered by Blogger.