.

.

Kemarau kemenangan masih belum berakhir


BAYANGAN tiga mata penuh hampir pasti milik tuan rumah, Melaka United selepas pemain pertahanan, Khair Jeffri Jones menjaringkan gol dalam 10 minit terakhir perlawanan dalam aksi ke-10 Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Namun, hasrat untuk menamatkan rentetan kemarau kemenangan dinafikan apabila pelawat bijak mencuri peluang sekali gus membawa pulang satu mata penting dari gelanggang Melaka United.

Dalam aksi malam tadi, ketua jurulatih, Eric Williams melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamannya dengan mencuba trio, Mohd. Amri Yahyah, Sergio Aguero dan Mohd. Fauzi Roslan di jentera serangan.

Di barisan pertahanan pula, tonggak import bermasalah, Godwin Antwi direhatkan ke bangku simpanan dengan menggandingkan G. Puaneswaran, Khair, Ahmad Khuzaimi Piee dan Mohamad Faizal Muhammad di barisan empat terakhir.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan namun gagal menembusi gawang lawan masing-masing.

Mohd. Fauzi memperoleh peluang terbaik bagi meletakkan Melaka United di depan pada separuh masa kedua namun percubaannya dari dalam kotak penalti dinafikan penjaga gol Felda United, Mohd. Farizal Harun.

Fazli Paat turut cemerlang di gawang Melaka United apabila berjaya menepis percubaan pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal yang berpunca daripada serangan balas pantas dilakukan pelawat.

Khair akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-80 apabila menyudahkan hantaran Mohd. Amri untuk meletakkan Melaka United di depan.

Kelekaan pada minit-minit akhir perlawanan menyaksikan pasukan bimbingan B. Sathianathan itu berjaya mencuri satu mata apabila tonggak import, Lucas Cano merembat cantik melepasi Fazli untuk gol penyamaan.

Pemain Melaka United perlu belajar daripada kesilapan ini dan perlu sentiasa fokus sepanjang permainan.

Kualiti permainan yang ditunjukkan dalam perlawanan ini sudah semakin baik berbanding dalam rentetan kekalahan kepada Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Keputusan ini tidak mengubah kedudukan Melaka United di tangga ke-10 Liga Super dengan hanya mengutip sembilan mata daripada 10 perlawanan.

Satu mata yang dikutip semalam menyaksikan Melaka United berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan bagi saingan Piala Malaysia tahun ini.

Anak buah Williams bakal melayan kunjungan PKNS FC pada 26 April ini untuk melengkapkan pusingan pertama perlawanan Liga Super 2017.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.