Header Ads

Siapa tiga tonggak import yang bakal disingkirkan?

PRESTASI terumbang-ambing yang dipamerkan skuad Melaka United termasuk dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad lalu pastinya mencetuskan kebimbangan penyokong terhadap kemampuan pasukan itu untuk terus bersaing dalam kempen Liga Super musim ini.

Aksi demi aksi yang ditempuh sepanjang kempen ini diakhiri dengan kekecewaan hampir di setiap 90 minit perlawanan apabila skuad kendalian Eric Williams itu merekodkan hanya dua kemenangan, dua seri dan lima kekalahan.

Mengikut rekod, Melaka United hanya mencatat satu seri dan empat kekalahan dalam lima perlawanan terakhir dengan dua daripada aksi tersebut menyaksikan skuad Sang Kancil itu dibelasah 0-4 oleh Kedah dan diratah 0-7 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Masih belum terlambat untuk pengurusan melakukan sesuatu bagi menyelamatkan pasukan daripada berdepan potensi penyingkiran ke Liga Perdana jika menggunakan jendela perpindahan bermula 15 Mei ini digunakan sebaik mungkin.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi Ahad lalu mengesahkan bahawa tiga daripada empat tonggak import sebagai salah satu usaha pengurusan memperkukuhkan semula skuad berkenaan.

Selain itu, Timbalan Presiden MUSA itu turut memberi amaran kepada ketua jurulatih, Eric Williams agar memperbaiki segala kekurangan dalam dua perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas pengendali dari England itu.

Jadi? Siapakah tiga tonggak import berkenaan yang mungkin bakal disingkirkan sebaik jendela perpindahan Mei nanti dibuka? Berikut merupakan analisa yang dilakukan Melaka United Online...

ILIJA SPASOJEVIC


Penyerang kelahiran Montenegro ini mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak Malaysia selepas menyertai Melaka United dari kelab Indonesia, Persib Bandung.

Spasojevic atau lebih mesra disapa Spaso menjadi penyerang paling berbisa di Liga Perdana musim lalu selepas meledak  27 gol dalam 27 penampilan untuk semua kejohanan.

Pada akhir musim lalu, Spaso digosipkan bakal meninggalkan Melaka United untuk menyertai beberapa pasukan lain seperti Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kedah namun pemain itu akhirnya memilih untuk kekal di bandaraya Melaka.

Segalanya seperti tidak menjadi buat bapa kepada dua cahaya mata itu musim ini apabila sekadar mencetak satu gol sahaja, ketika menundukkan Kelatan di Kota Bharu pada Mac lalu.

Rating: 4/10

GODWIN ANTWI


Satu tindakan berani diambil pengurusan Melaka United membawa masuk Godwin Antwi. Ketika ramai yang menjangkakan pasukan baharu Liga Super itu akan memilih pertahanan tengah kental berkualiti dari Eropah, Afrika mahupun Amerika Selatan, tidak dapat dipastikan mengapa pertahanan kelahiran Ghana itu menjadi pilihan.

Antwi dilaporkan menjadi tonggak utama pasukan Liga Perdana, DRB-Hicom FC apabila beraksi semua perlawanan untuk pasukan yang berpangkalan di Tanjung Malim itu.

Namun, seperti yang dijangka, Antwi gagal memenuhi tekanan beraksi di liga lebih tinggi apabila dilihat sering hilang punca gagal menyaningi tonggak import lawan yang lebih bijak memperdayakannya sebagai barisan empat terakhir Melaka United.

Rating: 2/10

JEON WOO-YOUNG


Penyertaan bintang k-pop dari Korea Selatan, Jeon Woo-Young ke dalam Melaka United menggantikan Omid Nazari yang disingkirkan di awal musim untuk memenuhi kuota pemain Asia.

Belum pernah beraksi di liga luar negaranya, Woo-Young tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak tempatan apabila meledak jaringan  dalam debut penuhnya bersama Melaka United.

Selepas itu, Woo-Young terus konsisten di depan jaring dan meledak dua lagi gol sepanjang musim ini sebelum kecederaan menghalang bekas tonggak Seongnam Ilhwa itu daripada daripada terus membantu skuad bimbingan Williams.

Rating: 7/10

SERGIO EZEQUIEL AGUERO


Pernah menjalani latihan bersama JDT namun setahun selepas itu menyertai Melaka United apabila skuad yang dibimbing Mat Zan Mat Aris itu berjaya menjuarai Liga Perdana 2016.

Penyerang muda berusia 23 tahun ini mempunyai skil dan teknik yang baik namun kecederaan merupakan salah satu faktor utama membataskan aksinya untuk Melaka United.

Ketibaanya bersama Mohd. Amri Yahyah diharap dapat membentuk satu trio serangan yang berbahaya di Liga Super namun ketika kempen hampir menerjah separuh perjalanan, keserasian antara ketiga-tiga masih gagal dibentuk Williams.

Rating: 4/10

Foto: Utusan Online, MUSA
Powered by Blogger.