.

.

Spaso lepas lilitan kapten Melaka United


KAPTEN Melaka United, Ilija Spasojevic hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan untuk melepaskan lilitan lengan yang dikenakannya sejak menyertai pasukan, musim lalu.

Tindakan itu diambil beberapa jam sebelum aksi terakhir pusingan pertama Liga Super musim ini menentang PKNS FC di Stadium Hang Jebat malam ini.

Spasojevic atau lebih mesra dengan panggilan Spaso mengumumkan keputusannya menerusi akaun Facebook peribadinya petang tadi.

Menurut Spaso, dia telah lama mempertimbangkan untuk melepaskan tanggungjawab tersebut dan perkara itu hanya disuarakan kepada ketua jurulatih, Eric Williams, pagi tadi.

"Ia menjadi satu penghormatan bagi saya untuk menjadi ketua pasukan untuk kelab ini, terutamanya pada musim lepas setelah kami mencipta sejarah dengan memenangi liga selepas 33 tahun.

"Saya selalu meletakkan kepentingan pasukan dahulu sebelum saya di dalam kerjaya dan ingin memberi tanggungjawab ini kepada yang seseorang lebih layak di dalam mengetuai pasukan ini.

"Saya berjanji bahawa dedikasi saya tetap sama, saya akan berjuang 100 peratus untuk pasukan ini selagi khidmat saya masih diperlukan" kata penyerang kelahiran Montenegro itu.

Dalam pada itu, Spaso berharap agar penyokong dapat memahami keputusan yang dilakukannya dan memohon supaya memberikan sokongan kepada ketua pasukan baharu yang dipilih Williams.

Foto: Ilija Spasojevic
Powered by Blogger.