.

.

Dua pasukan Liga Super, Perdana ditolak mata


KEGAGALAN melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan Liga Super 2017 yang berakhir pada Disember 2016 membawa musibah buat dua pasukan pantai timur, Kelantan dan T-Team apabila dikenakan tindakan pemotongan enam mata.

Dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib sama apabila gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.  

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam menerusi laporan Bernama berkata, pihaknya menghantar surat peringatan pertama pada 27 Januari lalu serta menghubungi pasukan berkenaan melalui telefon sebagai peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran tersebut.  

Pada 7 Mac lalu kata beliau, surat peringatan kedua dihantar dan FMLLP sekali lagi menghubungi pasukan berkenaan menerusi telefon untuk memberi peringatan bagi melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) sebelum 31 Mac.  

“Pasukan harus memuat naik Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN ke SPMB untuk melengkapkan pendaftaran pasukan.  

“Surat-surat selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun-tahun sebelum 2017,” katanya.

KEVIN RAMALINGAM bercakap kepada media berhubung penolakan mata pasukan Liga Super dan Perdana, semalam.
Sementara itu, Kevin menjelaskan, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum 15 Mei ini, pasukan berkenaan akan dilarang mendaftar pemain baharu semasa jendela perpindahan pemain dibuka, sehingga perkara itu diselesaikan sepenuhnya.  

Beliau berkata, pasukan terbabit boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan itu memperoleh pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain sedia ada dalam pasukan.  

“Ini bermaksud jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah diperoleh hasil daripada transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah dijimatkan hasil daripada pengurangan jumlah pemain keseluruhan,” katanya.  

Menurut Kevin, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 pada 31 Oktober depan, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut selayaknya bertanding untuk musim 2018.  

“Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018.  

“Tindakan-tindakan berkenaan boleh diambil oleh FMLLP melalui peruntukan kuasa yang sedia ada di bawah Perkara 43, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017,” katanya.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.