Header Ads

Melaka United, Selangor pula diserang


BERANG selepas pasukannya dipotong enam mata akibat kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji sebelum tarikh yang sepatutnya, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak memotong mata beberapa pasukan lain.

Terbaharu, Ketua Penerangan UMNO itu menerusi status Facebooknya hari ini menuntut keadilan mendakwa kononnya Kelantan menjadi mangsa keadaan atau 'kambing hitam' dalam isu pembayaran gaji pemain.


Annuar turut menuntut keadilan supaya pasukan lain seperti Selangor dan Melaka United turut dikenakan hukuman sama kerana konongnya gagal melunaskan gaji pemain kedua-dua pasukan.

"Kalau nak bertindak biar adil... Selangor ada hutang dengan beberapa pemain, kenapa tak potong mata? Melaka United tak selesaikan hutang pemain kenapa tak potong mata?

"Adakah kerana tiada komen dalam Facebook/Instagram sebelum ini? Sekarang saya buktikan beberapa negeri lain ada hutang, apa anda mahu buat?

"Anda akan ubah lagu peraturan untuk pasukan yang berbeza?" soal Annuar.

Kelantan dan T-Team dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh FMLLP semalam akibat daripada kegagalan melengkapkan pendaftaran pasukan termasuk pembayaran gaji dan sebagainya mengikut tarikh yang ditetapkan.

Persoalan yang diajukan Ahli Parlimen Ketereh itu secara tidak langsung sebenarnya menuding jari kepada pemimpin kedua-dua pasukan yang kini menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk Subahan Kamal.


Contoh yang diberikan Annuar mengenai satu kenyataan yang dikeluarkan bekas tonggak import Melaka United, Labinot Harbuzi yang mendakwa pasukan itu gagal menyempurnakan bayaran gaji atau bonus tertunggak.

Namun, kenyataan itu didapati telah pun dipadam semula oleh pemain kelahiran Sweden itu.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Harbuzi atau Labi mengeluarkan kenyataan kontoversi seperti itu sehingga mencetuskan persoalan penyokong Melaka United tetapi perkara itu pantas dipatahkan Mohd. Yusoff yang menyifatkan itu merupakan tindakan 'nakal' pemain tengah berkenaan.

Foto: Facebook Annuar Musa, 
Powered by Blogger.