.

.

Felipe import baharu Melaka United


SEOLAH-OLAH tidak mahu belajar daripada kesilapan lalu, Melaka United nampaknya sekali lagi mengambil keputusan mengikat pemain baharu tanpa jurulatih.

Selepas Nor Hakim Isa, pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) memilih untuk mendapatkan tonggak import, Filipe de Almeida Souza bagi menggantikan bekas penyerang, Sergio Ezequille Aguero yang digugurkan.

Biarpun telah menyenarai pendek tiga calon bagi mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih, namun difahamkan pengurusan MUSA masih lagi belum lagi mencapai kata sepakat berhubung penamatan kontrak Eric Williams.

Tidak perlu menjalani sesi pemilihan pemain import seperti yang dilakukan pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia, Melaka United dilaporkan terus memuktamatkan perjanjian mendapatkan pemain yang kurang dikenali, Almeida Souza atau lebih dikenali sebagai Felipe itu.

Bukan menafikan kualiti yang ada pada pemain tipikal Brazil ini tetapi tindakan persatuan yang heboh diperkatakan di media sosial, melantik seorang individu sebagai pengarah teknikal.

Pengarah teknikal inilah yang bertanggungjawab memilih pemain-pemain untuk diserapkan dalam skuad sedia ada biarpun individu berkenaan didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk melakukan tugas tersebut.

Namun, kehadiran Felipe dilihat mampu menyuntik semangat pasukan terutama di bahagian tengah yang dilihat antara kelemahan utama Melaka United musim ini.

Dikhabarkan, pemain kelahiran Brazil ini mempunyai kemahiran menggelecek dan berkemahiran mengawal bola dengan baik melepasi pertahanan lawan sekali gus mampu mengembalikan rentak cemerlang pasukan ini musim lalu.

Penyertaan pemain itu disahkan sendiri oleh ejen pemain berkenaan yang mewakili syarikat Underplus Management, awal pagi tadi.

"Kami berbangga mengumumkan pemain tengah, Filiper de Almeida Souza menandatangani kontrak dengan pasukan Liga Super Malaysia, Melaka United," katanya.
Powered by Blogger.