Header Ads

Isu kontrak Williams belum selesai


NASIB bekas ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams masih lagi samar selepas pengendali berbangsa Inggeris itu diberikan pilihan berhubung kontraknya bersama bekas juara Liga Perdana itu.

Williams yang direhatkan atas faktor kesihatan menjelang pertemuan menentang Felda United, Mei lalu terus diketepikan berikutan prestasi hambar yang dipamerkan pasukan sepanjang musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata kepada Bernama, pasukan yang kini berada di tangga ke-11 Liga Super itu sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan ketua jurulatih berkenaan.

"Persatuan tidak pernah mengabaikan Williams sebaliknya, memberi pilihan sama ada menerima tawaran tiga bulan gaji untuk kontraknya ditamatkan atau terus kekal sehingga tamat kontrak Disember ini. 

"Sekiranya ingin kekal, beliau diberi tugasan baharu sebagai jurulatih skuad remaja atau membimbing skuad baharu untuk Piala Raja-Raja," katanya.

Mohd. Yussoff berkata, beliau berharap Williams dapat memberi keputusan segera dalam masa terdekat sebelum Hari Raya Aidilfitri ini. 

MUSA sebelum ini pernah memberitahu bahawa isu kontrak Williams akan dimuktamatkan dalam tempoh terdekat namun sehingga kini kedudukan bekas pengendali kelab Myanmar, Yangon United itu masih belum dapat diputuskan.

Difahamkan, kontrak beberapa pemain import yang digugurkan pada jendela perpindahan Mei lalu turut belum diputuskan dan mereka masih mempunyai kontrak bersama Melaka United.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.