.

.

Tiga jurulatih dalam radar Melaka United


SELEPAS dua nama dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Melaka United, kini seorang lagi jurulatih berpengalaman, K. Devan dilaporkan berada dalam radar pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.

Memetik laporan Bernama, jurulatih berusia 61 tahun itu kini merupakan antara tiga calon berpotensi mengisi kekosongan jawatan itu selain daripada Mohd. Azraai Khor Abdullah dan Datuk K. Rajagobal.

Devan pernah membimbing Melaka United semusim pada 2007 sebelum beralih angin mengemudi Kelab Bola Sepak Kuala Muda Naza pada tahun berikutnya sebelum menjuarai Liga Perdana bersama pasukan berstatus kelab itu.

Bekas pengendali Kelantan ini pernah menjuarai Liga Super bersama Selangor dan Negeri Sembilan sebelum menambah koleksi kejuaraan bersama Red Giants selepas memenangi Piala FA pada 2009.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perubahan segera dengan menukar jurulatih serta barisan pemain dilakukan adalah bagi memastikan pasukan lebih bersedia menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.  

"Kita hanya akan mengambil jurulatih yang mampu membawa pasukan ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini.

"Mana-mana pasukan yang berada di tempat kita pun akan mengambil keputusan sama, membuat rombakan demi kebaikan pasukan,"katanya.

AZRAAI KHOR dilaporkan berminat melatih Melaka United musim ini.
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memberitahu bahawa beliau sedia maklum mengenai minat yang ditunjukkan beberapa jurulatih tempatan bagi membimbing Melaka United.

 "Persoalan sama ada jurulatih tempatan atau import tidak menjadi keutamaan, sebaliknya kita ingin mendapat segera jurulatih yang mampu mengemudi pasukan ke tahap yang lebih baik dan terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan,"katanya.  

Melaka United kini berada di zon penyingkiran Liga Super selepas berada di tempat ke-11 dalam carta Liga Super menerusi perbezaan gol, walaupun  berkongsi 11 mata dengan pasukan di tangga kesembilan dan ke-10, iaitu PKNS  FC dan Sarawak.  

Selepas mengharungi 13 perlawanan, juara Liga Perdana musim lepas itu  hanya menang dua perlawanan, selain seri lima kali dan tewas enam kali.

Foto: FootballSentral, TheFourtOfficial
Powered by Blogger.