.

.

Jentera serangan belum cukup bagus


AKSI kempen Liga Super bersambung semalam selepas pasukan-pasukan bertanding berehat hampir sebulan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa dan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam tempoh sama, Melaka United membuat rombakan besar-besaran dengan membawa masuk lapan muka baharu serta melantik pengendali berasal dari Portugal, Eduardo Almeida.

Kehadiran Almeida bagi menggantikan Eric Williams mendapat reaksi pelbagai daripada pelbagai pihak namun aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat seolah-olah memberikan harapan baharu bagi bola sepak Melaka.

EDUARDO Almeida memberikan arahan kepada anak buahnya ketika menentang PKNS FC, semalam.
Dalam aksi kompetitif pertama Almeida bersama Melaka United menyaksikan pasukan bimbingannya sekadar mengutip satu mata biarpun tidak membariskan pemain terbaik dalam kesebelasan utamanya.

Pengurus itu berkata kepada Astro Arena, banyak ruang perlu diperbaiki bagi memperkemaskan pasukan sekali gus mengelakkan diri daripada terjerumus kembali ke Liga Perdana selepas hanya semusim di Liga Super.

"Ada perkara yang perlu diubah dan dipertingkatkan. Saya melihat barisan pertahanan beraksi dengan baik tetapi jentera serangan kami tidak cukup pantas seperti yang diharapkan.

"Bagaimanapun, ini adalah proses peringkat demi peringkat. Dalam tempoh dua minggu, bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan permainan seperti yang saya hajati.

Mohd. Fauzi digandingkan bersama Marco Simic ketika menentang PKNS FC, semalam.
"Kami perlu melakukannya dalam tempoh singkat kerana tidak punya banyak masa lagi," katanya selepas aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.

Melaka United bakal membuka tirai kempen Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darul Aman, 4 Julai ini.

Foto: Utusan Online, MUSA
Powered by Blogger.