Header Ads

Kemenangan tipis atasi 'budak U'


RENTAK berbeza dipamerkan Melaka United dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila berjaya merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi kumpulan C, selepas menundukkan UiTM FC, 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Bagi perlawanan ketiga peringkat kumpulan ini, ketua jurulatih, Eduardo Almeida melakukan beberapa perubahan dengan membawa masuk Badrulzaman Abdul Halim, Mohd. Akmal Zahir, Syawal Norsham, Ahmad Ezrie Shafizie, Jasmir Mehat dan Mohd. Fandi Othman dalam kesebelasan utamanya.

Melaka United membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma mengelirukan Felipe Almeida de Souza sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Soffuan Tawil di gawang UiTM FC.

Tuan rumah hampir menggandakan jaringan selang beberapa minit kemudian namun sepakan penalti yang diambil penyerang import, Marko Simic sedikit tersasar.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kelebihan satu gol buat tuan rumah, UiTM bangkit menyamakan kedudukan menerusi tonggak import, Akanni Sunday pada minit ke-45.

JEON Woo Yong cuba melepasi kawalan pemain UiTM FC.
Bersambung babak kedua, Melaka United cuba mengatur beberapa gerakan berbahaya dan hasilnya pada minit ke-63, Felipe sekali lagi menggegarkan gawang pelawat juga menerusi sepakan percuma.

Mendahului 2-1, perlawanan selepas itu berlangsung seimbang sehinggalah wisel penamat dibunyikan bagi memberikan Melaka United tiga mata berharga di laman sendiri.

Kemenangan ini mengukuhkan Melaka United di tangga kedua kumpulan dengan enam mata daripada tiga perlawanan, berkongsi mata dengan Kedah di tangga pertama dan Kelantan di tempat ketiga dengan dibezakan oleh jumlah jaringan.

Skuad Hang Tuah ini akan meneruskan aksi Liga Super bagi perlawanan ke-17 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini dalam misi kekal di liga utama negara ini.

Foto: MUSA

No comments

Powered by Blogger.