.

.

Liga Perdana kian 'memanggil'


BERBAKI lima perlawanan, Melaka United kini berdepan risiko penyingkiran ke Liga Perdana selepas tewas 0-2 kepada Pahang dalam aksi ke-17 Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Sarawak, Perak, Selangor dan Kelantan bakal ditentang di Stadium Hang Jebat sementara T-Team FC akan menanti di Kuala Terengganu merupakan misi hidup mati skuad bimbingan Eduardo Almeida bagi memastikan Melaka United kekal di Liga Super.

Tidak banyak perubahan keputusan perlawanan sejak pengendali berasal dari Portugal itu mengambil alih pasukan dari ketua jurulatih terdahulu, Eric Williams.

Mohd. Fauzi Roslan gagal temui sentuhan penyudah di Kuantan.
Keputusan hambar ketika tunduk 2-3 kepada Pulau Pinang di halaman sendiri minggu lalu, Melaka United turun ke Kuantan mencari kemenangan bagi memastikan pasukan keluar dari zon penyingkiran.

Namun, Pahang yang dibimbing Dollah Salleh terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Yamil Romero pada minit kelima yang mudah menolak masuk bola tepisan lemah penjaga gol, Mohd. Firdaus Muhamad.

Khair Jefri Jones melakukan cubaan dalam kotak penalti Pahang.
Ketiadaan Jasmin Mecinovic yang diketepikan ekoran kecederaan nyata memberikan impak besar terhadap barisan pertahanan Melaka United apabila jentera serangan Pahang dilihat mudah merobek masuk benteng yang dikemudi Muhamad Faizal Muhammad dan Nicholas Swirad.

Mohamadou Sumareh menambah derita Melaka United selepas lapan minit babak kedua bersambung apabila berjaya melepasi perangkap offside sebelum merembat deras melepasi kawalan Mohd. Firdaus untuk gol kedua tuan rumah.

Marco Simic terlepas beberapa peluang keemasan menjaringkan gol.
Penyerang import Melaka United, Marco Simic terlepas peluang keemasan pada minit ke-65 apabila dia yang tidak dikawal di depan gol sekadar menanduk tinggi melepasi palang hantaran Felipe Almeida de Souza.

Pahang selepas itu terus menggandakan asakan namun ketangkasan Mohd. Firdaus berjaya menafikan serangan yang dicipta.

Almeida selepas itu membawa keluar dua tonggak import, Jeon Woo Yong dan Felipe dan tindakan itu memberikan impak di bahagian tengah apabila tuan rumah dilihat banyak menguasai bola sekali gus membuka ruang kepada Pahang mencipta gerak demi gerakan.

Simic sekali lagi terlepas peluang menghasilkan jaringan apabila percubaannya dalam kotal penalti sedikit tersasar yang berpunca daripada gerakan yang dicipta Mohd. Fauzi Roslan.

Keputusan ini tidak merubah Melaka United di tangga ke-11 Liga Super selepas Pulau Pinang tunduk 0-2 kepada Kedah sementara Sarawak yang berada di kedudukan ke-10 tunduk 0-1 kepada PKNS FC di Kuching.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.