.

.

Magis kebangkitan 10 minit


DISAAT Tommy Mawat Bada meledak gol kedua Sarawak pada minit ke-29, penyokong Melaka United sudah mula gelisah membayangkan peluang untuk kekal di Liga Super semakin tipis.

Namun, ada diantara mereka yang masih positif, berharap skuad bimbingan Eduardo Almeida mampu melakar kejutan biarpun tidak pernah meraih sebarang kemenangan perlawanan Liga Super di halaman sendiri.

Sarawak yang berada di tangga ke-10 liga, dibezakan dengan hanya dua mata wajib ditewaskan bagi memastikan Melaka United keluar dari zon penyingkiran sekali gus menghidupkan peluang beraksi di liga tertinggi negara ini musim depan.


Dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi menyaksikan Melaka United yang ketinggalan 0-2 kepada pelawat menerusi Matteo Roskam dalam tempoh 29 minit mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya mengurangkan defisit gol menerusi tandukan Marco Simic pada minit ke-30.


Belum pun sempat Sarawak memperkemaskan benteng pertahanan, mereka dikejutkan menerusi jaringan Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-34 menyaksikan kedudukan kembali terikat, 2-2.

Gol tersebut terus membakar semangat pemain Melaka United dan hasilnya, pada minit ke-39 kapten pasukan, R. Surendran meledak gol pendahuluan sekali gus memberikan tekanan kepada pelawat sebelum rehat babak pertama.


Pada separuh masa kedua, Almeida memasukkan Norhakim Isa bagi menggantikan S. Sivanisen namun Sarawak dilihat mula mencipta beberapa gerakan berbahaya bagi mencari gol penyamaan.

Benteng Melaka United terus kental menyerap segala asakan dan akhirnya pada masa kecderaan, Felipe de Almeida Souza memastikan tiga mata penuh milik tuan menerusi jaringan pada minit ke-94.


Kemenangan ini meletakkan Melaka United di tangga ke-10 dengan 15 mata, satu mata mengatasi Sarawak sambil berpeluang memintas Kelantan di tempat kesembilan jika The Red Warriors tewas dalam perlawanan berikutnya sementara Melaka United dapat mengekalkan momentum kemenangan.

Melaka United selepas ini bakal meneruskan aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia menenteng Kedah di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.