.

.

Jadi mangsa ratahan Lang Merah


MEREHATKAN beberapa tonggak utama bagi memberi fokus kepada Liga Super adalah satu tindakan yang tepat namun pemilihan pemain, taktikal dan juga sikap pemain simpanan membawa kepada keputusan memalukan dalam aksi Piala Malaysia apabila Melaka United dibelasah 2-6 oleh juara bertahan, Kedah di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Eduardo Almeida memilih mengekalkan hanya empat pemain dalam kemenangan ke atas Sarawak Rabu lalu seperti Marco Simic, Felipe Almeida de Souza, Khair Muhammad Jefri Jones dan Nicholas Ryan Swirad dalam kesebelasan utamanya.

NURHAKIM ISA berpasaingan dengan Ahmad Ezrie Shafizie Sazali di bahagian tengah.
Selebihnya merupakan pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan atau sering menjadi gantian diberikan peluang mempamerkan kebolehan apabila disenaraikan beraksi menentang Lang Merah.

Turun sebagai pasukan bukan pilihan, Melaka United pada awalnya dijangkan mampu memberikan saingan kepada Kedah namun kerapuhan benteng pertahanan menyaksikan tuan rumah ketinggalan seawal minit kelima menerusi rembatan leret Ahmad Fakri Saarani.

SIMIC (tengah) meraikan jaringan penyamaan oleh Mohd. Azinee (kanan).
Melaka United kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Azinee Taib yang bijak mengambil kesempatan ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti bagi menanduk masuk sepakan percuma Felipe Almeida de Souza pada minit ke-21.

15 minit kemudian, tonggak import, Sandro Mendonca meletakkan pelawat 2-1 di hadapan menerusi sepakan percuma cantik menewaskan penjaga gol Melaka United, Mohamad Firdaus Muhammad.

Ken Ilso meledak dua gol dalam tempoh lima minit untuk skuad Lang Merah.
Pemain kelahiran Brazil itu terus menambah derita Melaka United untuk gol kedua peribadinya apabila rembatan leretnya dari luar kotak pada minit ke-40 terkena pertahanan tuan rumah sebelum masuk bagi meletakkan Kedah selesa dengan kedudukan, 3-1.

Ken Ilso (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Melaka United.
Mohd. Akram Mahinan selepas itu menambah jaringan Kedah pada masa kecederaan babak pertama menerusi satu rembatan voli menarik susulan daripada percubaan Baddrol Bakhtiar.

GAWANG Mohamad Firdaus bocor enam kali pada aksi keempat kumpulan C saingan Piala Malaysia.
Separuh masa kedua menyaksikan Melaka United mengurangkan defisit gol menerusi tandukan Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-53 namun Ken Ilso pula mencetak nama sebagai penjaring apabila meledak gol kelima Kedah pada minit ke-77.

Ketika perlawanan seakan kekal dengan keputusan itu, pemain muda sensasi, Mohd. Akhyar Rashid meledak gol keenam Kedah selepas menyempurnakan hantaran cantik Sandro ke-90.

Keputusan memalukan ini meletakkan Melaka United di tangga ketiga kumpulan C Piala Malaysia, berkongsi 6 mata dengan Kelantan dan dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

Foto' MUSA
Powered by Blogger.