Header Ads

TRW mangsa kebangkitan Melaka United


RENTETAN 11 perlawanan tanpa kemenangan musim ini akhirnya berakhir apabila Melaka United berjaya menewaskan Kelantan, 3-0 dalam aksi kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Untuk rekod, kali terakhir Melaka United mencatat kemenangan adalah ketika menundukkan lawan masa, 1-0 di Stadium Sultan Muhammad V pada 21 Februari lalu.

Gandingan mantap Jeon Woo-Yong dan Felipe de Almeida Souza merupakan antara kekuatan Melaka United.
Pengendali Melaka United, Eduardo Almeida mempertaruhkan barisan terkuatnya apabila kembali menyenaraikan tonggak import, Felipe de Almeida Souza dalam kesebelasan utama sambil G. Puaneswaran, Muhamad Faizal Muhammad dan R. Surendran turut kembali dalam senarai 11 utama.

Penyerang import, Marco Simic meletakkan Melaka United di hadapan pada minit ke-20 hasil kesilapan penjaga gol Kelantan, Ramadhan Abd. Hamid untuk gol sulungnya dalam aksi kompetetif bersama pasukan selatan tanah air itu.

R. SURENDRAN melepasi kawalan pertahanan Kelantan sebelum menewaskan penjaga gol Kelantan untuk gol kedua Melaka United.
Ketika Kelantan cuba memperkemaskan benteng pertahanan, pemain sayap, R. Surendran pantas mengambil kesempatan meledak gol kedua tuan rumah menerusi sepakan voli cantik pada minit ke-30 bagi meletakkan Melaka United selesa 2-0 di hadapan.

Bermula babak kedua, Melaka United terus menggandakan asakan dan usaha tersebut berhasil apabila Mohd. Fauzi Roslan menambah derita pelawat pada minit ke-50 berpunca daripada hantaran Norhakim Isa.

Felipe de Almeida Souza melakukan hantaran kepada rakan sepasukan selepas kembali dalam kesebelasan utama.
Tiga mata penting ini meletakkan Melaka United di tangga kedua di belakang Kedah yang menundukkan UiTM FC, 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Shah Alam, petang semalam.

Melaka United bakal melayan kunjungan Kelantan di Stadium Hang Jebat, Selasa ini bagi perlawanan ke-15 Liga Super.

Foto: MUSA

1 comment:

Powered by Blogger.