Header Ads

Berakhirnya kempen Piala Malaysia


BAGAI sudah dijangka, kempen Piala Malaysia akhirnya menemui titik noktah selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Johor Darul Takzim (JDT) apabila tunduk 2-5 secara agregate selepas terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Tewas 1-4 dalam aksi di halaman sendiri awal bulan lalu, di atas kertas segalanya tampak sukar bagi Melaka United untuk melakar kejutan sekali gus layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2017.

Pengendali Melaka United, Eduardo Almeida mengambil pendekatan dengan merehatkan penyerang prolifik, Marco Simic bagi mengelakkan penyerang daripada mengalami kecederaan khususnya bagi mengharungi baki dua lagi perlawanan penting Liga Super musim ini.

Tuan rumah juga dilihat melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama seakan-akan memberi gambaran keyakinan mereka untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menang besar di Stadium Hang Jebat dalam aksi pertama baru-baru ini.

Ahmad Khuzaimi Piee (kanan) cuba menghalang gerakan Kunanlan.
JDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan menerusi beberapa gerakan namun gagal menembusi gawang Melaka United.

Jasmin Mecinovic berjaya menafikan peluang keemasan JDT pada minit ke-17 apabila Safawi Rashid berjaya melepasi perangkap offiside sebelum memperdaya Mohd. Fazli Paat namun percubaannya ke gawang terbuka Melaka United namun dikeluarkan tonggak import pelawat berkenaan.

Namun, empat minit kemudian, Mohd. Nazmi Faiz Mansor berjaya menggegar gawang Melaka United menerusi tolakan mudah selepas menerusi hantaran ke belakang daripada Hazwan Bakri untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan agregate 5-1.

Mohd. Fazli sekali lagi diuji pada minit ke-30 apabila penyerang JDT, Darren Lok berjaya masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan deras tetapi dinafikan penjaga gol berusia 30 tahun itu.

Pada minit ke-37, gerakan berbahaya yang dicipta Nazmi Faiz hampir sahaja memberikan JDT gol kedua namun kapten tuan rumah, Natxo Insa gagal menguis bola hantaran silang rakan sepakan ketika pintu gol sudah terbuka luas untuknya mencipta nama sebagai penjaring gol.

Jasmir memulakan gerakan yang membawa kepada gol penyamaan Melaka United.
Felipe Almeida de Souza berjaya menyamakan kedudukan untuk Melaka United apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-44 yang diperoleh selepas hantaran silang pemain gantian, Jasmir Mehat terkena tangan S. Kunanlan dalam kotak penalti.

Terikat 1-1 pada babak pertama, separuh masa kedua menyaksikan JDT meneruskan penguasaan bola dan terus mengasak mencari gol kedua.

Jeon Woo Young memperoleh peluang bagi mengurangkan defisit agregate pada minit ke-41 apabila sekadar menyepak liar bola hantaran cantik penyerang, Mohd. Fauzi Roslan.

Pelawat sekali lagi memperoleh peluang menambah jaringan pada minit ke-60 apabila kuisan Jasmir berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol JDT, Muhammad Haziq Nadzli.

Selang seminit kemudian, pemain gantian JDT, Gabriel Guerra hampir menggandakan gol tuan rumah namun percubaan derasnya dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Pada minit ke-78 pula menyaksikan percubaan dari dalam kotak penalti oleh Gonzalo Cabrera sedikit tersasar ketika G. Puaneswaran diperdaya oleh penywrang import berusia 28 tahun itu.

Penjaga gol gantian, Badrulzaman Abd. Halim berjaya menguis keluar hantaran silang Kunanlan sebelum menepis percubaan Guerra selang satu minit kemudian.

R. Surendran memberikan masalah kepada pertahanan JDT, Azrif Nasrulhaq.
Badrulzaman sekali lagi muncul wira Melaka United apabila menolak keluar sepakan percuma pada masa kecederaan JDT yang diambil oleh Guerra.

Tahniah buat pemain dan pengurusan kerana ini merupakan kempen terbaik Melaka United dalam Piala Malaysia apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan berprestij negara itu.

Kali terakhir Melaka United layak ke suku akhir Piala Malaysia adalah 10 tahun lalu namun tunduk secara agregate 1-10 kepada Kedah pada 2007.

Dengan berakhirnya kempen Piala Malaysia, kini Melaka United bakal beralih tumpuan kepada baki saingan Liga Super bagi memastikan pasukan itu kekal beraksi dalam kejohanan itu musim depan.

Foto: MUSA

No comments

Powered by Blogger.