.

.

Melaka United kekal di Liga Super!


SELEPAS mengharungi musim yang tidak menentukan sepanjang tahun ini, penyokong Melaka United kini boleh menarik nafas lega selepas berjaya menundukkan Selangor, 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Memerlukan tiga mata bagi mngesahkan tempat Liga Super musim depan, Melaka United membariskan skuad terbaik menentang skuad Red Giant.

Pencaturan ketua jurulatih, Eduardo Almeida itu tampak berhasil pada separuh masa pertama apabila memperoleh dua gol, kedua-duanya menerusi jaringan pemain import, Jasmin Mecinovic dan Marco Simic.


Mecinovic membuka tirai jaringan seawal minit kelima apabila berjaya melepasi kawalan kapten Selangor, Razman Roslan sebelum menanduk masuk sepakan penjuru Felipe de Almeida Souza.


Ketika perlawanan hampir menuju ke penghujung babak pertama, Simic terus menceriakan penyokong tuan rumah apabila menggandakan jaringan Melaka United selepas melepasi perangkap offside yang dicanang Selangor.


Refino Segovia merapatkan jurang jaringan buat Selangor pada minit ke-58 apabila sepakan leretnya dari dalam kotak penalti menerjah jaring gol Melaka United yang dikawal Badrulzaman Abd. Halim.

Kedua-dua pasukan saling mengatur gerak selepas itu namun ketumpulan penyudah menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.


Keputusan itu melonjakkan Melaka United ke tangga kelapan dengan 24 mata, mengatasi T-Team (22) yang tewas 0-1 kepada Pahang di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pulau Pinang sah tersingkir ke Liga Perdana selepas tewas 0-1 kepada Perak di Ipoh sementara tiga pasukan, Kelantan, T-Team dan Sarawak bersaing bagi memastikan tempat di Liga Super 2018.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.