Header Ads

Penyingkiran Liga Super, siapa bakal terselamat?


KEMPEN Liga Super 2017 bakal melabuhkan tirainya Oktober ini dengan Johor Darul Takzim (JDT) dinobatkan selaku juara buat kali keempat berturut-turut selepas konsisten sepanjang musim.

Sementara itu, lain pula ceritanya bagi beberapa pasukan yang kini bergelut di kelompok bawahan liga apabila baki dua perlawanan musim ini bakal menjadi hala tuju di manakah mereka akan beraksi pada tahun depan.


Menyingkap kedudukan Liga Super selepas 20 perlawanan, terdapat empat pasukan kini bersaing sesama sendiri bagi menentukan nasib mereka musim ini antaranya Melaka United di tangga kesembilan, Kelantan (10), Sarawak (11) dan Pulau Pinang (12).

Berikut merupakan analisa Media Melaka United mengenai peluang keempat-empat pasukan berkenaan untuk kekal di Liga Super musim depan.

Melaka United


Lima aksi pertama di Liga Super menyaksikan Melaka United merekodkan dua kemenangan, satu seri dan dua tewas bagi berada di kedudukan pertengahan di tangga ketujuh.

Namun, masalah dalaman yang membawa kepada pertukaran ketua jurulatih, pemain import dan tempatan membawa kesan besar apabila Melaka United mula terjerumus ke zon penyingkiran selepas 13 perlawanan.

Kemenangan berturut-turut dilakar dalam tiga perlawanan terakhir ke atas Sarawak, T-Team dan Perak membantu Melaka United bangkit keluar daripada zon penyingkiran untuk berada di kedudukan kesembilan Liga Super.

Hanya tiga mata sahaja diperlukan skuad bimbingan Eduardo Almeida itu untuk terus kekal di Liga Super.

Dua perlawanan terakhir:- 


Ramalan kekal: 8/10

Kelantan



Segalanya tampak kurang menjadi buat The Red Warriors sejak awal musim lagi apabila isu penajaan dan pembayaran gaji pemain 'dibenarkan' menjadi barah yang hampir melumpuhkan pasukan.

Keadan diburukkan lagi dengan pemotongan enam mata kerana kegagalan pengurusan melengkapkan proses pendaftaran iaitu mengemukakan surat-surat selesai bayaran tunggakan dari tahun-tahun sebelum 2017.

Selepas 20 perlawanan, Kelantan kini berada di kedudukan ke-10 dan untuk rekod, The Red Warriors gagal menang dalam tujuh perlawanan terakhir dengan kemenangan terakhir direkodkan ketika menundukkan Kedah 3-1 pada 18 Julai lalu dalam aksi Piala Malaysia.

Dua perlawanan terakhir:- 


Ramalan kekal: 5/10

Sarawak


Persiapan pasukan Sarawak musim ini agak misteri dengan nama pemain sensasi dari Filipina, Mark Hartmann dan bekas pemain import Sime Darby, Mateo Roskam yang digandingkan bersama anak tempatan di bawah kendalian David Usop.

Skuad Bujang Senang itu memulakan kempen dengan hanya sekadar mencatat satu kemenangan dan empat kekalahan dalam lima perlawanan pertama Liga Super sekali gus meletakkan pasukan itu di kelompok  bawahan liga.

Hanya merekodkan empat kemenangan dalam 20 perlawanan, tugas pemangku ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala pastinya mencabar apabila terpaksa berdepan Kedah dan T-Team di Stadium Negeri, Kuching namun rekod menunjukkan hanya satu kemenangan dilakar skuad Bujang Senang di halaman sendiri dalam aksi Liga Super musim ini.

Dua perlawanan terakhir:- 



Ramalan kekal: 5/10

Pulau Pinang


Melantik bekas pengendali Bengaluru FC, Ashley Westwood sebagai ketua jurulatih, Pulau Pinang turut mendapat suntikan dana sebanyak RM4 juta daripada kerajaan negeri bagi mengharungi kempen kedua berturut-turut di liga tertinggi negara itu.

Entah apa yang tidak kena, Pulau Pinang gagal mengutip sebarang mata dalam enam perlawanan pertama termasuk dibelasah 6-1 oleh Pahang.

Mata pertama skuad Harimau Kumbang itu diperoleh menerusi keputusan seri menentang Melaka United di gelanggang sendiri pada 1 Mac lalu.

Pelantikan Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih tidak banyak merubah nasib Pulau Pinang yang kini ibarat bagai telur di hujung tanduk hanya menunggu pengumuman rasmi penyingkiran mereka ke Liga Perdana musim depan.

Dua perlawanan terakhir:- 


Ramalan kekal: 1/10

Foto: MUSA, Utusan Online
Powered by Blogger.