.

.

Ghaddar tak jadi ke Melaka United

 

Tidak dapat dipastikan sama ada ini berita sedih atau gembira apabila penyerang antarabangsa Lebanon, Mohamed Ghaddar menolak tawaran untuk menyertai Melaka United.

Ini kerana sejak berita mengenai penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tersebar di media sosial mendapat reaksi pelbagai daripada peminat dengan kebanyakkannya tidak mahu pemain berkenaan ke negeri ini.

Memetik laporan BH Online hari ini, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan penolakan pemain tersebut.

Menurut Mohd. Yusoff, biarpun Ghaddar sepatutnya memberi jawapan kepada pasukan Khamis lalu namun pemain berkenaan mengambil masa yang lama sebelum memaklumkan keputusannya hari ini.

"Kami akur dengan keputusan Ghaddar. Itu pilihannya walaupun JDT pada dasarnya sudah bersetuju memberi pelepasan walaupun dia masih memiliki kontrak bersama pasukan Harimau Selatan berkenaan," katanya.

Penyokong Melaka United sebelum ini mempersoalkan tindakan pasukan melepaskan penyerang prolifik, Marko Simic untuk memberi laluan kepada Ghaddar bagi mengetuai jentera serangan.

Namun, selepas penolakan Ghaddar ini, sudah pastilah ketua jurulatih, Eduardo Almeida mempunyai opsyen lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Simic.

Jeon merupakan satu-satunya pemain import yang dikekalkan Melaka United bagi musim depan.
Ketika ini, hanya Nurshamil Abdul Ghani dan Mohd. Fauzi Roslan sahaja merupakan pilihan Melaka United di barisan serangan sambil Mohd. Farderin Kadir dijangka menyertai pasukan dalam jangka masa terdekat.

Skuad hijau putih ini juga sudah mengenal pasti pemain tengah dari Filipina dan Indonesia yang berpotensi bagi mengisi kuota import dari Asia Tenggara.

Sebelum ini, Mohd. Yusoff juga ada memberitahu bahawa dua pemain import dari Portugal dan Perancis bakal mengisi dua kuota pemain import antarabangsa sementara Jeon Woo-Young dikekalkan semusim lagi mengisi kuota pemain Asia.
Powered by Blogger.