Header Ads

Almeida puas dapat pilih pemain sendiri


Tiada lagi isu campur tangan luar dalam pemilihan pemain musim ini dan kini ketua jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida menzahirkan kepuasannya apabila dapat membentuk pasukan sendiri.

Jika musim lalu, begitu ketara jurang yang terlalu besar dalam skuad yang pada mulanya dibentuk Eric Williams, namun sejak bekas pengendali T-Team itu mengambil alih, beliau dilihat secara perlahan-lahan menerapkan falsafah permainan bola sepaknya ke dalam pasukan.

Almeida memantau sesi latihan Melaka United.
Pendekatan itu nyata berhasil apabila Melaka United berjaya menamatkan kempen Liga Super di tangga kelapan sekali gus menutup mulut pengkritik yang meramalkan pasukan ini bakal terjerumus ke Liga Perdana, hanya selepas setahun dipromosi.

Langkah berani Almeida juga menyaksikan beliau dianugerahkan kontrak sambungan selama setahun serta diberikan kebebasan membawa masuk staf kejurulatihannya sendiri bagi memudahkan tugasan bukan sahaja dalam pembentukan skuad utama tetapi juga di peringkat akar umbi.

Tiago Gomez perlu meningkatkan prestasinya jika mahu menyinar dalam kancah Liga Malaysia.
Kepercayaan yang diberikan pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) disahut baik pengendali berasal daripada Portugal itu apabila pasukan ini menjadi antara yang terawal melengkapkan senarai pemain termasuk membawa beberapa nama besar seperti Ahmad Fakri Sha'arani, S. Chanturu, R. Gopinathan dan beberapa lagi untuk digandingkan bersama beberapa pemain lama.

Mohd. Fauzi Roslan antara pemain musim lalu yang dikekalkan.
Kini, Almeida optimis sasaran kedudukan lima teratas Liga Super 2018 mampu direalisasikan serta optimis Melaka United berpeluang meraih salah satu piala yang dipertandingkan.

Bercakap kepada BH Online, Almeida berkata, keseimbangan antara pemain utama dengan pemain simpanan jelas sedikit melegakan berbanding musim 2017 apabila beliau tidak memiliki banyak pilihan terutama jika pemain utama mengalami kecederaan.

Ketibaan pemain bertaraf antarabangsa seperti Shahdan Sulaiman (tengah) dan S. Chanturu (kiri) dijangka memberi impak besar dalam pasukan.
Namun kini kata beliau, tugasnya terarah kepada membentuk kombinasi efektif dalam semua aspek termasuk bertahan, mengatur gerak dan menyerang dalam kalangan muka baharu dan lama.

"Saya akan membentuk pelbagai pendekatan ketika berdepan tiga perlawanan di Vietnam dari 4 hingga 12 Januari depan dalam misi mengenal pasti keupayaan dan kebolehan pemain untuk merealisasikan perancangan," katanya.

Zubovich merupakan pemain import terakhir menyertai Melaka United.
Kuota pemain import Melaka United kini telah lengkap selepas mengikat penyerang dari Belarus, Yahor Zubovich menyertai empat yang lain termasuk Jeon Woo-Young (Korea Selatan), Tiago Gomes (Portugal), Shahdan Sulaiman (Singapura) dan Steven Ticot (Perancis).

Foto: BHOnline, MUSA
Powered by Blogger.