.

.

SAMB urus skuad Piala Presiden


Pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) tidak akan mengambil bahagian dalam kempen Liga FAM musim depan bagi memberikan tumpuan terhadap pembangunan dan pengurusan skuad Piala Presiden Melaka United.

Keputusan tersebut dilakukan bagi memastikan skuad Piala Presiden Melaka United kekal relevan dan bersaing dalam liga sekali gus memadamkan episod hitam berada di dasar liga musim ini apabila sekadar merekodkan satu kemenangan, empat seri dan 13 kekalahan dalam kumpulan A.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu telah dinyatakan Presiden, Datuk Seri Idris Haron ketikas kongres persatuan tersebut baru -baru ini.

Katanya, keputusan itu menyaksikan pengurusan SAMB diberikan peluang memilih pengurus, ketua jurulatih serta barisan pemain sendiri termasuk pemain muda berbakat yang bakal bersaing di kancah Piala Presiden.

Skuad Piala Presiden Melaka United musim lalu mencatatkan keputusan hambar dan terperosok ke dasar liga.
Kata Yusoff, kemampuan kewangan yang mantap SAMB diharapkan dapat mampu membentuk skuad terbaik bagi menampilkan sentuhan lebih efektif pada kejohanan peringkat remaja tersebut.

"Kami juga menaruh harapan tinggi pemain Piala Presiden yang ditaja SAMB bakal menjadi pemain berwibawa sebagai skuad pelapis skuad utama.

"Beberapa pemain muda berpotensi yang pernah bersama skuad berkenaan musim ini juga kini disenaraikan membarisi skuad Liga Super di bawah bimbingan ketua jurulatih, Eduardo Almeida," katanya.

Sebelum ini, MUSA turut mengambil langkah sama apabila menswastakan skuad bawah 19 (B-19) dan bawah 17 (B-17) untuk menghadapi saingan Piala Belia sebagai usaha membentuk bakat muda berpotensi ke peringkat lebih tinggi. 

Foto: MUSA, SAMB FC
Powered by Blogger.