.

.

Spaso nafi kepulangan ke Melaka United


Hasrat penyokong Melaka United untuk melihat bekas penyerang sensasi pasukan, Ilija Spasojevic kembali menyertai pasukan tidak kesampaian apabila pemain berusia 30 tahun itu menolak laporan kepulangannya bersama pasukan Liga Super berkenaan.

Meskipun telah dilepaskan majikannya, Bhayangkara FC akhir musim ini, Spasojevic atau Spaso menegaskan dia mahu kekal di Indonesia biarpun mengakui ada menerima tawaran daripada beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia.

Desas-desus kembalinya Spaso ke Melaka United hebat diperkatakan selepas Pemenang Kasut Emas Liga Malaysia 2016 itu dilihat bertemu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi minggu lalu.

Spaso juga dilihat meluangkan masa bertemu beberapa rakan lama di Malaysia sejak berpindah ke negara jiran pertengahan tahun ini.

Spaso (kanan) sempat bertemu Mohd. Yusoff ketika bercuti di Malaysia, minggu lalu. 
"Saya bercuti pendek empat hari di sana. Sampai sekarang (sejak kembali ke Indonesia) saya belum bercuti kerana ada tugasan antarabangsa.

"Saya kembali ke Melaka untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya sangat senang sepanjang dua tahun di sana, pengurusan mereka juga baik," ujar Spaso di Jakarta Selatan, Indonesia semalam.

Spaso menjadi pemain kesayangan peminat selepas meledak 30 gol dalam 35 penampilan bersama Melaka United yang turut menyaksikan pasukan itu kembali ke Liga Super selepas muncul juara Liga Premier pada 2016.

"Saya ingin bermain di Liga 1. Ada tawaran dari Malaysia dan Thailand tapi saya lebih pilih di Indonesia," katanya yang dipetik dari portal Bolalob.

Foto: Ilija Spasojevic, Media Sosial
Powered by Blogger.