Header Ads

Melaka United mudah lepasi cabaran Pahang


Skrip berbeza dicipta di Kuala Terengganu apabila Melaka United berjaya membenam cabaran Pahang, 4-1 dalam aksi pembukaan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Jika jelajah Vietnam minggu lalu, skuad  bimbingan Eduardo Almeida gagal melakar sebarang kemenangan dalam dua perlawanan dan hanya mencetak dua gol sahaja namun berdepan skuad Tok Gajah, segalanya tampak menjadi.

Zubovich mengawal bola ketika diasak pertahanan Pahang.
Penyerang import, Yahor Zubovich diletakkan sebagai penyerang tunggal dalam formasi 4-5-1 dengan gawang Melaka United dikawal oleh bekas penjaga gol PKNS FC, Mohd. Zamir Selamat.

Almeida meletakkan kepercayaan kepada G. Puaneswaran, Nicholas Swirad, Steven Tricot dan Khair Jefri Jones di barisan pertahanan sementara jentera tengah dan sayap digerakkan oleh Jeon Woo Young, Shahdan Sulaiman, Tiago Gomez, R. Gopinathan dan R. Surendran selaku ketua pasukan.

Berdepan lawan yang tewas 2-4 kepada Terengganu kelmarin, Melaka United bermula garang apabila banyak mengatur gerak dalam aksi padang yang agak licin untuk 25 minit pertama.

Gopinathan jaringkan gol sulung Melaka United hasil kesilapan pertahanan lawan.
Hasilnya, pada minit ke-21, Gopinathan berjaya menjaringkan gol pertama Melaka United selepas berlaku salah faham antara pemain-pemain pertahan skuad Tok Gajah.

Melaka United menambah jaringan empat minit selepas permainan bersambung pada babak kedua menerusi rembatan Surendan sebelum pemain gantian, Mohd. Fauzi Roslan menambah derita Pahang menerusi jaringan pada minit ke-69.

Mohd. Fauzi menewaskan Rameziy Che Ros untuk gol ketika Melaka United.
Yang menariknya, ketiga-tiga gol Melaka United dijaringkan oleh bekas pemain Tok Gajah sendiri sekali gus meletakkan pasukan itu selesa berada di depan selepas 70 minit.

Ketika Pahang mula mencari rentak memburu gol sulung, anak jati Melaka, Nurshamil Abd. Ghani menambaj jaringan pada minit ke-73.

Nurshamil tidak ketinggalan cetak nama sebagai penjaring gol.
Baki 15 minit terakhir memperlihatkan usaha Pahang memburu gol dan serangan bertali arus yang dilakukan akhir berhasil apabila pemain import, Chan Vathanaka meledak gol pada minit ke-85 sebelum jaringan Faisal Halim dibatalkan pada minit ke-89 kerana berada dalam perangkap offside.

Melaka United akan menentang tuan rumah, Terengganu FC malam ini yang tewas 0-2 kepada adik mereka, Terengganu FC II semalam.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.