.

.

Selamat pulang dan berehatlah...


Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama bukanlah satu tugasan yang mudah namun semangat juang tinggi yang dipamerkan pada awal babak kedua menyaksikan kebangkitan Melaka United mengikat kedudukan 3-3.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Terengganu FC II (TFC II) meledak gol keempat bagi memastikan kemenangan milik mereka sekali gus layak ke perlawanan akhir Kejohanan 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu.

Untuk perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi, Ketua Jurulatih, Eduardo Almeida dilihat mencuba gandingan Nicholas Swirad dan Syawal Norsham di pertahanan tengah sambil dibantu G. Puaneswaran dan Khair Jefri Jones.

Aksi Ahmad Fakri Sa'arani yang diasak pertahanan TFC II.
Prestasi hambar pada babak pertama menyaksikan TFC II mendahului dua gol pada 15 minit pertama sebelum menambah gol ketiga, lima minit sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Gomez menjaringkan gol pertama Melaka United menerusi sepakan penalti.
Babak kedua menyaksikan Melaka United cuba bangkit menerusi jaringan Tiago Gomez, R. Surendran dan Yahor Zubovich namun keceriaan itu tidak berpanjangan apabila TFC II menambah gol keempat pasukan Liga Premier itu.

Mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan, Melaka United mengatur banyak perlawanan pramusim termasuk jelajah ke Vietnam sebelum pulang ke tanah air bagi menyertai kejohanan di Pantai Timur itu.

Jeon Woo Yong mendapat aksi lebih kerap dalam pramusim dan merupakan tonggak Melaka United.
Pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk keletihan, keserasian, formasi dan sebagainya dalam aksi pemanas badan seperti ini dan diharapkan pada perlawanan terakhir pramusim menentang PKNS, Almeida sudah pun mendapat barisan kesebelasan terbaiknya untuk kempen 2018.

Melaka United bakal membuka kempen Liga Super 2018 menentang Kelantan di Stadium Hang Jebat sebelum bertemu Selangor dalam aksi kedua liga.

Selepas mengharungi banyak perlawanan dan perjalanan yang memenatkan, berehatlah wahai pemain Melaka United. Cabaran sebenar menanti bemula Februari ini. Gegau la hawau!

Foto: MUSA
Powered by Blogger.