.

.

Ini baharulah Melaka United!


Igauan ngeri musim lalu seolah-oleh kembali menghantui pemain dan penyokong Melaka United apabila Kelantan berjaya membolosi gawang tuan rumah seawal minit pertama perlawanan.

Jaringan penyerang import The Red Warrior, Bruno da Silva yang berpunca daripada sepakan percuma di awal permainan merupakan satu kejutan buat anak buah Eduardo Almeida.

Mohd. Zamir Selamat sebagai benteng terakhir Melaka United gagal menolak keluar sepakan percuma lencong yang diambil pemain dari Korea Selatan, Do Dong-Hyun sebelum disudahkan da Silva sekali gus menceriakan ratusan peminat pasukan pelawat.

Ketika ada yang meramalkan gol itu bakal merentap semangat juang pemain-pemain tuan rumah, Melaka United sebaliknya mempamerkan persembahan lebih baik bagi memburu gol penyamaan.

Yahor Zubovich, penyerang import yang kurang prolifik dalam aksi pramusim menceriakan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Hang Jebat apabila berjaya melepasi perangkap offside sebelum meledak gol penyamaan pada minit ke-11.

Gandingan Zubovich selaku penyerang tunggal dan dibantu lima pemain tengah dan sayap seperti, R. Surendran, S.Chanturu, Jeon Woo Young, Shahdan Sulaiman dan Tiago Gomez terus menggerakan serangan ketika pelawat turut sesekali menguji pertahanan Melaka United.

Kelekaan barisan pertahanan Kelantan dimanfaatkan Melaka United apabila Chanturu bijak melakukan larian mengelirukan di sebelah kiri kotak penalti lawan sebelum dijatuhkan pertahanan, Amirizwan Taj sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat Melaka United.

'The Special Jeon' tenang menyempurnakan sepakan penalti ke sebelah kanan gawang bagi meletakkan Melaka United 2-1 di depan.

Separuh masa kedua menyaksikan The Red Warriors cuba mencari gol penyamaan menerusi serangan bertali arus namun barisan pertahanan, G. Puaneswaran, Nicholas Swirad, Steven Tricot dan Mohd. Azmi Muslim kental bertahanan membanti Mohd. Zamir yang agak sibuk sepanjang baki 45 minit perlawanan.

Kemenangan ini sangat dinantikan penyokong Melaka United yang mahu melihat pasukan berwajah baharu ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain sekali gus menempatkan diri dalam lima terbaik dalam kempen Liga Super musim 2018.

Melaka United bakal berdepan Selangor Rabu ini dalam aksi kedua Liga Super.

Foto: Media Sosial
Powered by Blogger.