.

.

Negeri Sembilan mangsa kebangkitan Melaka United


Yahor Zubovich. Penyerang dari Belarus ini menjadi duri dalam daging Negeri Sembilan apabila dua gol dan satu bantuan jaringannya membantu Melaka United membenam pasukan jiran, 3-0 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Bijak mencipta ruang dan menyempurnakan peluang, penyerang berusia 29 tahun ini rajin mengejar bola bagi memberikan tekanan kepada pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan.

Tidak seperti menentang Selangor yang menyaksikan Zubovich gagal meledak sebarang gol, aksi menentang pasukan yang baharu dipromosi dari Liga Premier itu memperlihatkan ketajaman dan kebijaksanaan pemain itu dalam kotak penalti.

Usaha gigih penyerang yang setakat ini meledak tiga gol Liga Super itu berhasil apabila dia menjaringkan dua gol serta bantuan kepada gol ketiga Melaka United.

Untuk perlawanan malam ini, ketua jurulatih, Eduardo Almeida melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama.

Dengan kembalinya Nicholas Swirad daripada kecederaan, pemain pertahanan itu digandingkan semula bersama Steven Tricot, G. Puaneswaran serta Khair Jeffri Jones.

Di bahagian tengah, R. Gopinathan mendapat turun buat kali pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini, bergandingan dengan kapten, R. Surendran, Jeon Woo Yong, Shahdan Sulaiman dan Tiago Gomez sementara Zubovich kekal selaku penyerang tunggal.

Kesebelasan utama Melaka United menentang Negeri Sembilan.
Melaka United mendominasi permainan sebaik sahaja sepak mula menerusi kawalan di barisan tengah dengan serangan lebih tertumpu dari arah sayap menerusi gandingan pemain sayap dan pertahanan kiri serta kanan.

Zubovich hampir membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-18 apabila kesilapan penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar gagal menangkap kemas sepakan percuma Melaka United namun cubaan penyerang dari Belarus itu sedikit tersasar selepas terbias pertahanan lawan.

Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila cubaan dari luar kotak Gopinathan atau Gopi gagal ditolak keluar Saiful Amar sebelum disambar Zubovich untuk meletakkan Melaka United satu gol di hadapan.

Selang lapan minit kemudian, Zubovich sekali lagi meledak kali ini menerusi tolakan daripada sepakan sudut Melaka United yang juga diambil oleh Gopi.

Kombinasi Gopi-Zubovich dilihat merupakan ancaman besar pertahanan Negeri Sembilan sehinggakan lawan terpaksa melakukan dua pertukaran termasuk mengeluar Saiful Amar bagi mengelakkan gawang mereka bocor lagi.

Perlawanan separuh masa kedua lebih seimbang menyaksikan pelawat cuba mengatur gerakan berbahaya termasuk membawa masuk penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan, N. Thanabalan namun tiada cubaan yang benar-benar berbahaya ditujukan ke arah Mohd. Zamir Selamat di benteng terakhir Melaka United.

Gopi tidak terlepas mencetak nama sebagai penjaringkan gol apabila serangan yang bermula daripada hantaran dari bawah oleh Puaneswaran kepada Zubovich menyaksikan penyerang itu berjaya melepasi kawalan pertahanan Negeri Sembilan sebelum masuk ke dalam kotak penalti.

Zubovich kemudiannya melakukan hantaran silang di depan pintu gol Negeri Sembilan sebelum disambar Gopi untuk gol ketiga Melaka United pada minit ke-70.

Kemenangan ini merupakan satu kebangkitan buat Melaka United selepas tunduk 1-4 kepada Selangor Rabu lalu. Pasukan bimbingan Almeida ini akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi keempat Liga Super pada 24 Februari ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.