.

.

Southern FC 'lemas' di Stadium Hang Jebat


Seperti yang dijangka, Melaka United tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan ketiga Piala FA apabila membelasah pasukan bukan liga, Southern FC 7-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Biarpun dianggap seperti 'perlawanan latihan', ketua jurulatih, Eduardo Almeida tidak memandang mudah keupayaan lawan apabila menyenaraikan tiga pemain import biarpun merehat beberapa pemain utama.

Mohd. Fauzi Roslan tampil sebagai kapten menggantikan R. Surendran yang direhatkan.
Mohamad Faridzuean Kassim ditugaskan sebagai benteng terakhir dan di bantu Mohd. Shazlan Alias, Steven Thicot, Muhamad Faizal Muhammad, Mohd. Azmi Muslim sementara di bahagian tengah diperkuatkan R. Gopinathan, Tiago Gomes, S. Sivanesan dan Mohd. Fauzi Roslan.

Di jentera serangan, Yahor Zubovich kini tidak berseorangan apabila digandingan dengan penyerang tempatan, Farderin Kadir.

Melaka United tidak berdepan masalah menundukkan Southern FC di halaman sendiri.
Percaturan Almeida ternyata berhasil apabila Zubovich membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti sebelum Gopinatahan menambah gol kedua Melaka United yang beraksi sebagai pasukan pelawat pada minit ke-24.

Selang dua minit kemudian, Zubovich sekali lagi menemui penyudahnya apabila meledak jaringan ketiga sebelum Mohd. Fauzi menambah derita Southern FC pada minit ke-34.

Belum sempat pasukan dari Lembah Klang itu bernafas, Farderin menambah gol kelima Melaka United bagi meletakkan pasukan Liga Super itu selesa di depan selepas berakhirnya babak pertama.

Yahor Zubovich ledak dua gol dalam debut Piala FA.
Mohd. Azmi meledak gol sulung bersama pasukan selatan tanahair itu apabila menjaringkan gol keenam Melaka United pada minit ke-52, menjadi kedudukan 6-0 sebelum penyerang gantian, Nurshamil Abd. Ghani menambah derita Southern FC menerusi gol ketujuh pada minit ke-75.

Kemenangan ini cukup bermakna buat Melaka United selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan minggu lalu.

Melaka United bakal meneruskan kempen Liga Super minggu depan apabila bakal melayan kunjungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Hang Jebat 11 Mac ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.