.

.

Dua gol Zubovich 'bunuh' harapan PKNP FC


Yahor Zubovich. Penyerang import dari Belarus ini membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Eduardo Almeida apabila dua jaringannya membantu Melaka United menundukkan 'the giant killer', PKNP FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Biarpun tiba di Melaka dengan rekod jaringan yang kurang memberangsangkan bersama kelab-kelab terdahulu, Zubovich pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Malaysia apabila kini meledak lima gol dalam liga perlawanan Liga Super musim ini.

Pertahanan PKNP menghadapi malam yang sukar terutama bagi mengawal Zubovich.
Dua gol yang disumbangkan Zubovich dalam setiap babak meletakkan penyerang itu sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan lima gol bersama dua lagi pemain seperti Francis Forkey Doe dari Pahang dan Rufino Segovia (Selangor).

Dalam aksi yang berlangsung malam tadi, pada 10 minit pertama menyaksikan PKNP mendominasi perlawanan dan cuba menembusi pertahanan ampuh yang dibina gandingan Nicholas Swirad dan Steven Thicot.

Zubovich mudah menolak masuk untuk gol pertama Melaka United.
Namun, kealpaan benteng pertahanan pelawat dihukum apabila larian Zubovich ke dalam kotak penalti gagal disekat pertahanan lawan sebelum menampan dan menolak bola ke gawang PKNP yang dikawal Bryan Lee pada minit ke-13.

Itu merupakan cubaan pertama Melaka United ke arah pintu gol lawan sejak wisel sepak mula ditiupkan.

Nicholas Swirad membina benteng ampuh bersama Steven Thicot ketika menentang PKNP.
Tersentak dengan gol awal tuan rumah, PKNP menggandakan asakan dan larian melirukan pemain sayap, Mohamad Hafiz Ramdan berjaya melepasi G. Puaneswaran sebelum melepaskan rembatan leret, namun sedikit tersasar.

Melaka United turut mengancam kubu PKNP apabila Zubovich melakukan sepakan deras dari luar kotak tetapi tepat ke arah penjaga gol lawan pada minit ke-22.

Jeon Woo-Young (kanan) berjaya melepasi kawalan pemain PKNP FC.
Jentera serangan PKNP dilihat berdepan kesukaran menembus masuk kotak penalti Melaka United di sepanjang babak pertama dengan tandukan pertahanan import, Ritus Krjauklis hasil sepakan penjuru tidak memberikan ancaman kepada Mohd. Zamir Selamat.

Pada babak kedua menyaksikan PKNP terlebih dahulu menguji tuan rumah menerusi cubaan pemain gantian, G. Ganiesh pada minit ke-46 namun selang tiga minit kemudian, giliran Melaka United menguji Bryan menerusi cubaan Zubovich pada minit ke-49.

Pelawat turut berpeluang menyamakan kedudukan selang 10 minit kemudian apabila berjaya masuk ke kotak penalti Melaka United namun cubaan jarak dekat dinafikan Mohd. Zamir Selamat.

G. Puaneswaran berjaya kekalkan tempat di bahagian pertahanan kanan Melaka United.
15 minit terakhir menyaksikan PKNP cuba mengatur gerakan berbahaya khususnya di bahagian sayap namun kelekaan ketika menyerang dihukum Melaka United.

Skuad bimbingan Almeida itu berjaya memperoleh gol kedua menerusi Zubovich yang bijak memperdaya dua pertahanan PKNP sebelum merembat deras dari kotak penalti sekali gus memastikan tiga mata penuh milik Melaka United.

Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke tangga keempat Liga Super dengan sembilan mata, tiga mata dipisahkan dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengutip 12 mata.

Foto: MUSA, Utusan Online
Powered by Blogger.