.

.

Mampukah Syahrul Azwari menyinar di Melaka United?


Mohamad Syahrul Azwari Ibrahim mencipta nama dalam bola sepak tanah air apabila muncul antara pemain termuda ketika berusia 18 tahun dalam skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraih pingat emas Sukan Sea 2011.

Bersama pemain termuda ketika itu, Mohd. Nazmi Faiz Mansor, Syahrul Azwari menjadi bualan peminat bola sepak tempatan menerusi aksi memukau di bahagian sayap sekali gus membantu Malaysia menumbangkan Indonesia di perlawanan akhir.

Karier bekas pemain Harimau Muda itu sedikit menjunam selepas itu apabila mengalami kecederaan lutut sehingga menyebabkan anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan berkenaan terlepas aksi Sukan Sea 2013.

Kenangan bersama Nazmi Faiz selepas muncul juara bola sepak Sukan Sea.
Namun, selepas kecederaan berkenaan, prestasi dipamerkan Syahrul Azwari tidak seperti dahulu dan perkara tersebut jelas pada aksi mengecewakan pada Sukan Sea 2015.

Selepas meninggalkan Harimau Muda, Syahrul Azwari menjadi rebutan Sarawak dan pasukan kelahirannya, Kelatan sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masuk campur bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Syahrul Azwari dikhabarkan menyertai pasukan Sarawak tetapi Kelantan juga mahukan khidmatnya kerana peraturan FAM menyatakan seseorang pemain itu haruslah kembali ke negeri masing-masing setelah tamat tempoh mereka bersama Harimau Muda.

Perkara itu diselesaikan dengan cara baik apabila Sarawak memutuskan untuk meminjam Syahrul daripada Kelantan.

Syahrul Azwari masih mencari prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan lutut.
Pada awal musim 2017, Syahrul Azwari angkat kaki dan menyertai Johor Darul Ta’zim II (JDT II) namun sehingga kini pemain sayap berusia 25 tahun itu masih bergelut mengembalikan prestasi terbaiknya dalam kancah Liga Malaysia.

"Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengucapkan selamat datang kepada pemain tengah, Syahrul Azwari ke pasukan Melaka United dari pasukan JDT II.

"Semoga dengan kehadiran beliau bakal memperkuatkan Skuad Hang Tuah dalam misi kekal dalam saingan Liga Super 2018," katanya menerusi akaun Facebook rasmi pasukan semalam.

Syahrul Azwari dilaporkan menyertai Melaka United secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Foto: MUSA, JST, Harimaumudafans
Powered by Blogger.