.

.

Tewas kepada TFC, zon penyingkiran makin hampir


Entah apa yang tidak kena. Beraksi dengan begitu baik dengan gerakan serangan tersusun, disiplin yang tinggi dan memberikan ancaman kepada pertahanan lawan khususnya di bahagian sayap.‬

‪Itu yang dilakukan anak buah E. Elavarasan pada separuh masa pertama sehinggakan tuan rumah, Terengganu Football Club (TFC) hilang arah dan tidak bermain seperti sedia kala.‬

‪Namun segalanya berubah pada babak kedua apabila Melaka United pula tertekan sehingga membuka ruang kepada pemain-pemain tengah TFC merencanakan gerakan mencari dua tonggak import, Bruno Suzuki dan Kipre Tchetche.‬

Tiago Gomes gagal mempamerkan aksi terbaik di bahagian tengah.
‪Shahdan Sulaiman, Jeon Woo Young dan Tiago Gomes, tiga pemain import mengemudi jentera tengah Melaka United namun di babak kedua, mereka tenggelam sehinggakan memaksa barisan pertahanan membuat clearance liar akibat tekanan berterusan TFC.‬

‪Elavarasan yang mengekalkan back four, Nicholas Swirad, Steven Thicot, Khair Jefri Jones dan Mohd. Azmi Muslim selepas dua perlawanan terdahulu menyaksikan Melaka United mencatat keputusan seri tetapi itu tidak berlaku di Kuala Terengganu.‬

‪Babak pertama jelas mempamerkan kelebihan Melaka United yang bergerak di bahagian sayap yang dikemudi dua 'tenaga kuda', R. Gopinathan dan S. Chanturu yang mempunyai kelebihan larian deras meninggalkan pertahanan lawan.‬

Yahor Zubovich dirantai kemas pertahanan lawan.
Namun begitu, kelebihan itu gagal dimanfaatkan apabila jarang sekali disaksikan pemain sayap ini melakukan hantaran silang berkualiti kepada Yahor Zubovich selaku penyerang tunggal.‬

‪Corak permainan Melaka United sedikit berubah apabila Gopinathan dikeluarkan dan digantikan selepas setengah jam pemainan, semakin kurang hantaran silang untuk Zubovich.‬

‪Kelemahan itu digunakan sebaik mungkin tuan rumah menerusi penguasaan di bahagian tengah dan sayap termasuk hantaran satu dua berbahaya selepas Shahdan dan Jeon dilihat kurang memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan.‬

‪Pada minit ke-60, usaha TFC berhasil apabila Ashaari Samsudin yang baharu dimasukkan berjaya meledak sepakan voli rendah yang terus menerjah jaring ketika Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak mampu berbuat apa-apa.‬

Mohd. Azmi Muslim diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama Melaka United.
Usaha membawa masuk S. Sivanesan bagi membantu bahagian pertahanan dan Nurshamil Abd. Ghani di jentera serangan tidak mampu mengubah kedudukan sekali gus menyaksikan Melaka United pulang dengan tangan kosong.  ‬

‪Perlukah digugurkan pemain import? Berapa pula kos yang bakal ditanggung akibat tindakan ini? Kita nantikan keputusan pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Kekalahan 0-1 kepada TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi membuatkan Melaka United hanya tiga mata dipisahkan daripada Kelantan dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengutip lapan mata di kedudukan ke-11 dan 12 Liga Super.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.