.

.

2 pemain Piala Belia terpilih jalani latihan skuad B-19 kebangsaan


Seramai dua pemain skuad Piala Belia Melaka United dipilih bagi menyertai kem latihan pusat 26 pemain skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Izreen Izwandy dan Zainul Arifin Ahmad Latifi dijangka melaporkan diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa depan menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Indonesia pada 1 hingga 14 Julai ini.

Sementara itu, Nizaruddin Jazi pula diletakkan dalam senarai 14 pemain menunggu dan diminta menjalani latihan dan menggantikan mana-mana pemain jika mengalami kecederaan.

Daripada 26 pemain ini, Bojan bakal memilih 23 pemain terbaik untuk dibawa ke Surabaya, Indonesia pada 29 Jun ini bagi menghadapi kejohanan yang akan bermula pada 1 Julai nanti.

Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk ke separuh akhir.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Kemboja pada 3 Julai sebelum bertemu Brunei (5) Timor Leste (7) dan Myanmar (9).

Semua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Deltra Sidoarjo, Surabaya.

Sekiranya Malaysia layak ke separuh akhir, perlawanan dijadualkan berlangsung pada 12 Julai untuk bertemu juara atau naib juara dari Kumpulan A sementara final pula dijadualkan pada 14 Julai.

Foto: MUSA, FAM
Powered by Blogger.