.

.

Giliran Syahrul Azwari sertai Harimau Malaya


Prestasi cemerlang yang dipamerkan Muhamad Syahrul Azwari Ibrahim sejak menyertai Melaka United membolehkan pemain sayap itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun yang dipinjam dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi menggantikan empat pemain yang digugurkan akibat kecederaan.

Menurut laporan BH Online, Syahrul merupakan empat muka baharu yang dipanggil bagi melengkapkan senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat bermula esok bersama Shafiq Shaharudin dari Kelantan, Kenny Pallraj (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).

Menjadi pilihan Melaka United untuk posisi sayap kanan.
Aksi terakhir Syahrul Azwari bersama Harimau Malaya adalah ketika Malaysia tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2018 pada 17 November 2015.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada jurulatih Cheng Hoe kerana memberikan peluang, memang agak terkejut sebab sudah lama tidak dipanggil.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran tinggi tapi saya akan cuba berikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam pasukan," katanya hari ini.

Syahrul merupakan bekas pemain Harimau Muda, mula mendapat perhatian susulan prestasi baiknya bersama Melaka United selepas dipinjamkan dari JDT II pada pertengahan musim ini.

Syahrul kembali menyengat selepas berpindah ke Melaka United.
Dalam pada itu, pemain sayap lincah tersebut memberitahu dia mengimpikan tempat berada dalam skuad ke Piala AFF hujung tahun ini.

"Saya tak pernah beraksi di Piala AFF, memang impian saya juga untuk beraksi di kejohanan besar. Tapi persaingan pasti sengit dan saya perlu berusaha keras lagi," katanya.

Pemain Harimau Malaya mula berkumpul esok bagi sesi latihan pusat sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Fiji di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 5 Julai ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.