Header Ads

Aksi memukau Chang Hoon pastikan Lang Merah tumbang


Pertaruhan berani ketua jurulatih, E. Elavarasan membariskan tiga muka baharu dalam kesebelasan utama berhasil apabila gandingan Lee Chang Hoon, Mohamad Syahrul Azwari Ibrahim dan S. Veenod menjelma kemenangan 2-0 ke atas Kedah malam tadi.

Paling mencuri tumpuan pastinya Chang Hoon yang mempamerkan aksi menakjubkan di bahagian tengah menerusi gerakan berbahaya, hantaran kreatif dan kerja keras yang tinggi sekali gus memberikan masalah kepada tuan rumah.

Hasilnya, Chang Hoon berjaya meledak gol dalam debutnya di Liga Super, sesuatu yang tidak dijangka dari pemain import yang hanya baru beberapa hari menjalani latihan bersama kem Melaka United.

Larian pantas Syahrul Azwari beri masalah kepada pertahanan Kedah.
Kehadiran Syahrul Azwari di bahagian sayap kanan pula dilihat memberikan tekanan kepada pertahanan kiri Kedah menerusi 'senjata' utamanya, larian deras sekali gus sedikit membataskan pertahanan lawan daripada naik ke atas membantu jentera serangan Lang Merah.

Veenod turut menampilkan aksi cemerlang sebagai pertahanan kanan mencipta keserasian bersama Steven Thicot, Khair Jefri Jones dan Mohd. Azmi Muslim selepas dimasukkan bagi menggantikan Nicholas Swirad yang mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan.

Shahdan Sulaiman dapat kepercayaan ketua jurulatih berada dalam kesebelasan utama.
Bagi 20 minit separuh masa pertama, Melaka United dilihat banyak melakukan gerakan berbahaya ke kubu Kedah ketika lawan masih tercari-cari rentak permainan.

Chang Hoon membentuk gandingan bersama rakan senegara, Jeon Woo Young dan Shahdan Sulaiman sekali gus memberikan ancaman kepada Kedah.

Cubaan Yahor Zubovich, Syahrul Azwari, Chang Hoon di sepanjang separuh masa pertama mempamerkan keyakinan dan kualiti atau corak permainan berbeza ditampilkan di bawah bimbingan Elavarasan.

Zubovich menolak masuk gol pertama Melaka United di Stadium Darulaman malam tadi.
Percaturan bekas pengendali PKNS FC itu akhirnya berbaloi apabila gerakan gandingan muka baharu bermula dari Veenod kepada Syahrul Azwari dan Chang Hoon berjaya ditolak masuk Zubovich untuk gol pertama Melaka United.

Babak kedua yang menyaksikan Melaka United kerap tumbang dalam beberapa aksi musim ini agak berbeza di Stadium Darul Aman.

Steven Thichot (kiri) meraikan jaringan Yahor Zubovich.
Biarpun Kedah mula mengasak menerusi jentera serangan diketuai Paolo Rangle, namun benteng ampuh Melaka United menggagalkan cubaan tuan rumah.

Kemasukan pemain muda berpotensi, Mohd. Akhyar Rashid dan Syazwan Zainon di bahagian sayap memberikan tekanan kepada Melaka United tetapi pujian juga perlu diberikan kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak mematahkan hantaran berbahaya dalam kotak penalti.

Ahmad Fakri Sa'arani (kanan) diturunkan dalam kesebelasan utama untuk tiga perlawanan berturut-turut.
Kelekaan skuad Lang Merah mencari gol penyamaan dihukum apabila Chang Hoon mengesahkan kemenangan Melaka United menerusi jaringan pada minit ke-90 selepas menerima hantaran Mohd. Fauzi Roslan.

Kemenangan ini bermakna kemarau lapan perlawanan Liga Super dan Piala FA berakhir yang memperlihatkan skuad hijau putih itu melonjak ke tangga kesembilan dengan mengutip 14 mata.

Melaka United bakal bertandang ke ibu kota menentang Kuala Lumpur pada 5 Jun ini bagi aksi ke-14 Liga Super 2018.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.